Penyertaan Dalam Siasah Untuk Kesinambungan Dakwah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Penyertaan Dalam Siasah Untuk Kesinambungan Dakwah

Oleh: Mukhtar Suhaili As-Sarawaki

1. Alhamdulillah, kita dilahirkan ke atas dunia ini dengan misi hanyasanya untuk mengabdikan diri kepada Allah. Menjadi hamba Allah dan mengikuti Sunnah serta meneruskan perjuangan Rasulullah SAW.

2. Dalam ceramah-ceramah motivasi saya di sekolah-sekolah, kampung-kampung dan universiti-universiti, saya selalu bertanya 2 soalan.

3. Pertama "Apa matlamat kita di dunia ini?" Jawabnya "Mencari redha Allah". Mardhatillah. Kedua "Apa yang ingin kita capai di Akhirat sana?" Jawabnya "Masuk Syurga Allah". Menjadi Ahli Jannah dengan rahmat Allah.

4. Alhamdulillah, saya diberi peluang oleh Allah terlibat secara langsung dengan NGO-NGO untuk gerak kerja dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan khususnya di pedalaman Sarawak. Sungguh usaha sebegini menjadi asbab hidayah dan mengembangkan ajaran Islam dalam kalangan masyarakat.

5. Alhamdulillah, setakat hari ini saya telah diberi nikmat oleh Allah untuk mensyahadahkan 69 orang. Sama-sama kita doakan mereka yang telah bersyahadah diteguhkan iman dengan kalimah La Ilaha IllalLah, Muhammadur RasululLah!

6. Terlalu banyak kenangan manis dan pahit sepanjang jalan dakwah ini yang kadangnya membuat senyum bahagia dan ada ketikanya mengalirkan airmata. Tidak kurang juga mehnah, tribulasi hatta fitnah sepanjang jalan dakwah tersebut. Namun itulah Sunnatullah perjuangan, semoga Allah redha.

7. Kini saya telah diamanahkan oleh Perwakilan dan diberi taklifan memegang amanah sebagai Exco berjawatan Bendahari Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ini bermakna saya sekaligus terlibat secara langsung dengan rencah politik nasional dan berusaha menyumbang ke arah kemapanan pola siasah kebangsaan.

8. Terima kasih kepada semua ahli keluarga, sahabat-sahabat dan guru-guru yang memberi ucapan tahniah (dan takziah), nasihat, tunjuk ajar, panduan, cabaran dan harapan. Saya telah menerima ucapan-ucapan tahniah dari rakan-rakan di kedua-dua blok politik PR dan BN. Pandangan kalian amat saya hargai dan bantulah saya dalam merealisasikannya.

9. Saya telah menulis sebelum dari ini tentang mengapa saya memilih PAS sebagai medan bersiasah saya dan wadah perjuangan saya kini. PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang mengusahakan kesyumulan dan merangkumi aspek tarbiyah, dakwah dan siasah. Saya memilih PAS bukan kerana hendakkan apa-apa habuan keduniaan (saya boleh bersama parti lain jika itu yang saya mahukan), sebaliknya bila memilih untuk menjadi Ahli PAS bermakna saya bersedia menyumbang semampu mungkin untuk menjayakan visi dan misi PAS.

10. Saya memilih untuk bersama PAS kerana Dasar PAS ialah ISLAM, Seruan PAS ialah ALLAHU AKBAR dan tujuannya ialah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaannya.

11. Kepada sahabat-sahabat yang belum memilih untuk bersama PAS, harapan saya semoga kita boleh terus bersama, bersahabat dan berganding bahu meskipun berbeza pandangan politik dan u***** perjuangan. Kepada rakan seperjuangan dalam PAS, teruslah beristiqamah dan menyumbang semampu mungkin untuk jamaah.

12. Sama-sama kita bina negara dan ummah kita. Semoga Malaysia mampu menjadi Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Kita semua mengidamkan terciptanya negara yang baik dengan suasana yang aman dan tenteram, di bawah naungan redha dan ampunan Allah.

13. Kalau Bukan Kita Siapa? Kalau Bukan Sekarang Bila?

14. Terus Beristiqamah Hingga Kemenangan!

Wallahu a'lam bissawab.

0 Komentar untuk "Penyertaan Dalam Siasah Untuk Kesinambungan Dakwah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI