Majlis Perundingan Pelajar kesal UM tak tegas halang pidato Anwar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Majlis Perundingan Pelajar kesal UM tak tegas halang pidato Anwar

Ratusan peserta pada Isnin menyerbu pintu utama Universiti Malaya bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di depan kira-kira 2,000 khalayak. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 November, 2014. 

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kesal dengan sikap Universiti Malaya (UM) yang tidak tegas menghalang program pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim awal minggu ini.

Presidennya Mohamad Shafiq Kamaruddin berkata, kebebasan bersuara yang sering dilaungkan Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) tidak selari dengan program pidato berkenaan kerana hanya menegakkan politik peribadi individu tertentu.

“Lebih baik mahasiwa memberikan tumpuan kepada aktiviti akademik dan penguasaan ilmu serta pembangunan sahsiah mereka.

“Kami berharap tiada sebarang aktiviti atau yang menyokong ideologi pemimpin tertentu dilakukan di dalam kampus,” katanya kepada akhbar Sinar Harian.
Shafiq berkata mahasiswa yang terlibat dalam program seumpama itu hanya menunjukkan peribadi yang buruk selain akan menjejaskan kecemerlangan akademik mereka.

“Ini hanya akan menjejaskan keharmonian dan pembelajaran mahasiswa, sekaligus memberi kesan yang buruk kepada pembangunan sahsiah,” katanya kepada akhbar itu.

MPPK terdiri daripada presiden atau yang dipertua institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

Semalam, Presiden PMUM Fahmi Zainol berkata, 9 pertuduhan dikemukakan terhadapnya kerana menganjur dan menyertai program "40 tahun: Dari UM ke penjara" melibatkan Anwar di UM.

Katanya, surat pertuduhan itu diterima semalam dan beliau diminta menghadiri sesi pendengaran Lembaga Disiplin UM pada 7 November ini.

Fahmi berkata 8 lagi pelajar lain yang terlibat dalam ceramah itu turut menerima surat sama dari lembaga disiplin, namun tidak seberat tuduhan yang dikenakan kepadanya.

Ratusan peserta pada Isnin menyerbu pintu utama UM bagi membolehkan Anwar menyampaikan ucapan di depan kira-kira 2,000 khalayak.

Program yang dibuat sehari sebelum kes rayuan liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Persekutuan itu diisytiharkan haram oleh pentadbiran UM kerana ia mencemarkan imej universiti.

Sebelum ini, ahli majlis PMUM, Mohd Faridzuan Karim mendakwa program Anwar tersebut tidak dibincang dalam mesyuarat dan dia sendiri tidak menyokongnya.

Faridzuan dilaporkan berkata PMUM menentang program Anwar diadakan di kawasan kampus atas alasan Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti tidak menyokongnya.

"Program ini tidak pernah dibincang dengan kami. Kami diabaikan sepenuhnya, seolah-olah kami tidak penting langsung," kata Faridzuan dipetik sebuah portal pada Rabu.

Faridzuan dilaporkan menuduh Fahmi menyalahguna kuasa sebagai presiden PMUM dan membuat keputusan bersendirian meneruskan program itu. – 1 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/majlis-perundingan-pelajar-kesal-um-tak-tegas-halang-pidato-anwar#sthash.C7SkzoRi.dpuf
0 Komentar untuk "Majlis Perundingan Pelajar kesal UM tak tegas halang pidato Anwar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI