ALOR SETAR - Fakta penting berkaitan politik Kedah didakwa telah diselewengkan dan dimuatkan dalam buku ‘Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah’.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penulis berkenaan didapati memutar belit fakta dan urutan sejarah selain cuba menggambarkan Pas Kedah bawah pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang membentuk kerajaan pada penggal lalu bersikap tidak menghormati pihak lain terutama DAP.

“Keburukan yang direka dan diserlahkan seawal bab pertama seolah-olah bertujuan menimbulkan persepsi Ustaz Azizan sebagai punca masalah dalam kerajaan PR di Kedah. Penulis seolah-olah cuba menimbulkan persepsi pembaca dengan membina pandangan negatif dan prasangka terhadap beberapa tokoh termasuk Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang),” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga bekas Setiausaha Politik Azizan berkata, pihaknya mempertikai tujuan buku itu diterbitkan berikutan terdapat percanggahan maklumat selain hanya merujuk kepada sumber yang boleh diragui kredibilitinya.

“Adakah buku itu bertujuan untuk membersihkan beberapa pemimpin di Kedah yang pernah cetuskan krisis secara terbuka menentang kepimpinan Azizan?

"Wajarkah buku itu menyalahkan Presiden Pas dan pemimpin tertentu yang didakwa mempertahankan kepimpinan Ustaz Azizan secara semberono,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut kesal apabila buku berkenaan mendedahkan secara terbuka tuduhan dan fitnah terhadap Ustaz Azizan sebelum ini dengan mengubah dan menyembunyikan fakta dan diolah semula peristiwa yang berlaku.

“Banyak fakta diulas dari persepsi yang salah selain meletakkan tanggungjawab penyebab krisis hanya di bahu Ustaz Azizan sewaktu menjadi Pesuruhjaya Pas Kedah dan Menteri Besar,” katanya.
 Muhammad Sanusi turut kesal apabila penulis hanya menemu bual pihak tertentu tanpa merujuk kepada kepimpinan Pas Kedah sedia ada.
“Amat dikesali kerana buku itu dijadikan rujukan pihak luar berasaskan andaian, persepsi dan maklumat salah termasuk sumber yang tidak berasas dan tuduhan liar yang diulang. Ia boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap Pas Kedah selain menjejaskan imej, kepercayaan dan sokongan,” katanya.

Menurutnya, Pas Kedah telah menubuhkan jawatan kuasa mengkaji isi kandungan buku berkenaan bagi membolehkan fakta dan sejarah sebenar diketengahkan untuk menjernihkan kembali kekeruhan yang dicetuskan.

Muhammad Sanusi turut membangkitkan antara fakta tidak tepat yang dipaparkan ialah  Datuk S Manikumar dinamakan Exco PKR sedangkan beliau belum menjadi Adun ketika itu manakala Abdul Ghani Ahmad juga belum dilantik Exco  dan menjawat Timbalan Speaker daripada Pas.

“S Manikumar hanya bertanding dan menang dalam PRK Bukit Selambau setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan V Arumugam (Exco Kedah sebelum itu yang bertanding atas tiket Bebas dan kemudian menyertai PKR) meletakkan jawatan sebagai Exco dan Adun.

"Lim Soo Nee dan Tan Chau Kang @Tan Joo Long juga belum menjadi Exco. Mereka dilantik kemudian menggantikan Muhammad Radzi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) yang tinggalkan PKR dan jadi Adun Bebas,” katanya.

Menurutnya, penulis didakwa berniat jahat apabila menyatakan Pas Kedah bawah pimpinan Ustaz Azizan membalas dendam kepada DAP apabila Adun tunggal parti itu, Lee Guan Aik tidak dilantik sebagai Exco.

“Ini dikaitkan dengan isu dendam Pas Kedah konon kerana DAP di Pulau Pinang tidak melantik Adun tunggal Pas di sana sebagai Exco,” katanya.

Telahan penulis ternyata salah kerana kerajaan Kedah dibentuk lebih awal daripada kerajaan Pulau Pinang.

“Ustaz Azizan mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mac dan Exco mengangkat sumpah membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Kedah pada 12 Mac.

Kerajaan negeri Kedah adalah yang pertama dibentuk selepas PRU12. Lim Guan Eng angkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada 11 Mac dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang pada 13 Mac. Mana mungkin dituduh kita balas dendam kepada Pulau Pinang?” katanya.

Muhammad Sanusi menyifatkan fakta penting diabaikan manakala isu remeh dijadikan rumusan selain meletakkan kesalahan pada Pas semata-mata.
“Mana boleh diceritakan bahawa ‘uri telah ditanam sedangkan bayi belum lahir’?” katanya.