KONSERT akhir Akademi Fantasia 2014 (AF2014) menyaksikan anak kelahiran Sabah menjadi juara rancangan realiti TV popular itu, malam Ahad lalu.

Bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Firman,25, atau nama penuhnya Mhd Firman Bansir mengikuti jejak langkah juara  AF sebelum ini, Faizul (AF2013).

Berjaya memukau juri dan penonton dengan lagu Kejoraku Bersatu (Search) serta Di Pintu Mu ciptaan lagu kedua ciptaan M. Nasir sepenuhnya, Firman mengungguli carta undian SMS dengan 39.5 peratus, dikuti peserta lain; Aman (15.9%), Ewal (15.5%), Nuha (14.7%) dan Adel (14.5%).

Berkongsi kegembiraannya, Firman menyatakan dia akan menunaikan hasratnya untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan umrah dalam masa terdekat.

"Alhamdulillah... Sangat bersyukur dengan kemenangan ini kerana saya dapat tunai janji dari awal lagi sekiranya berjaya menjadi juara AF. Dan, tak sangka ianya menjadi kenyataan.

"Insya-ALLAH, saya akan membawa ibu dan bapa ke Mekah tidak lama lagi. Namun semuanya masih dalam perancangan," ujarnya yang masih terkejut dengan kemenangan tersebut.

Selaku juara, Firman  membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 berserta sebuah kereta Toyota Vios, pakej percutian ke Osaka, Jepun, tajaan HNH Tours dan trofi sumbangan Astro.

Dengan wang kemenangan itu, Firman turut meluahkan hasratnya untuk mendermakan sebahagian duit itu kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat peperangan.

Ujarnya, kesusahan yang dialami sebelum ini banyak mengajarnya untuk bersyukur dan berkongsi 'hadiah' tersebut kepada golongan yang memerlukan.

"Saya pernah lalui kepayahan dan kesusahan dalam kehidupan ini. Jadi, saya sedar bagaimana sukar pun hidup saya, ada lagi yang lebih susah dari saya,” katanya pernah bergelar 'busker' atau penyanyi jalanan secara sambilan selama setahun lebih.

Kekal imej rock!

Biarpun lagu ciptaan M.Nasir, Di Pintu Mu bergenre Balada, Firman memberitahu, dia sebenarnya lebih selesa dengan lagu-lagu Rock.

"Ianya bertepatan dengan jiwa saya dari awal menyanyi sehingga sekarang. Apabila ditawarkan untuk menyanyi lagu ini saya agak sangsi mulanya.

"Risau tidak dapat membawa lagu ini dengan baik di pentas akhir nanti. Selepas persembahan ini, saya lebih yakin bahawa Rock tetap kekal di hati saya selamanya," katanya.

Tambahnya, lagu-lagunya akan datang juga bergenre Rock kerana bimbang tidak dapat nyanyi dengan baik.

"Sekali bergelar Rocker, selamanya saya akan jadi Rockers," katanya yang meminati lagu-lagu daripada kumpulan Search.