PERCATURAN pertama Uniutama Management Holding Sdn Bhd (milik Universiti Utara Malaysia) menerbitkan telemovie baharu, Man Rider, menggunakan teknik CGI (Computer Graphic Image) dalam hampir keseluruhan proses.

Menampilkan pelakon-pelakon berbakat seperti Zara Zya, Azwan Kombos, Hamdan, Shamsul Ghau-Ghau dan ramai lagi, telemovie ini akan ditayangkan pada 10 November ini, jam 9 malam di TV9.

Penerbitnya, Nassarudin Abdul Rasif berkata telemovie ini merupakan projek pertama Uniutama yang menggandingkan teknik CGI dan animasi yang jarang dilakukan produksi tempatan.

Berbekalkan bajet besar, Nassarudin menjelaskan hampir 80 peratus menggunakan teknik tersebut kerana ia melibatkan aksi-aksi seperti motor terbang, UFO dan banyak lagi.
“Teknik ini digunakan untuk motor Leman (Azwan) yang mampu berkomunikasi dengan manusia.

“Mungkin bajet yang dikeluarkan agak tinggi tetapi saya pentingkan kualiti dalam telemovie ini.

“Saya mahu produksi tempatan memandang perkara ini sebagai satu elemen penting untuk industri perfileman negara,” ujarnya yang menjalani penggambaran di sekitar Kuang, Selangor.

Menurut Nassarudin, tempoh penggambaran hanya dijalankan selama 10 hari, namun proses teknikal mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan.

Man Rider, mengisahkan seorang jejaka kampung Leman (Azwan) yang mengejar cita-cita sebagai penari, namun impiannya berkecai apabila gagal dalam satu uji bakat.

Pertemuannya dengan Fatamorgana (Zara) membongkar satu rahsia mengenai motor miliknya yang menjadi buruan penjahat.