PETALING JAYA - Selepas berada di belakang pencabar yang lain dalam pencalonan Naib Presiden PKR baru-baru ini,  nasib Rafizi Ramli masih baik selepas terpilih menjawat jawatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP),  Datuk Johari Abdul berkata, Rafizi berada di tempat keempat dengan memperoleh 18,887 undi.
“Selain itu, keputusan penuh menyaksikan Nurul Izzah Anwar berada di kedudukan tertinggi dengan memperoleh 29,721 undi, Tian Chua (22,324 undi) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (19,839 undi),” katanya pada sidang media, di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
Bulan lalu, media melaporkan, Rafizi tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok keempat teratas menerusi keputusan yang diperolehi  melalui laman web parti tersebut dan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Fuziah Salleh yang merupakan penyandang kerusi tersebut gagal mempertahankan jawatan itu.
Keputusan itu menyaksikan beliau (Fuziah) hanya sekadar menduduki tangga ketujuh selepas memperoleh undi sebanyak  16,809 iaitu di belakang Dr Xavier, di tangga kelima (18,434 undi) dan Baru Bian tangga keenam (17,360 undi).
Nasib  malang turut menimpa N Surendran apabila turut gagal mempertahankan jawatan tersebut.
Beliau hanya berjaya menduduki tangga ke-11 dengan undi sebanyak 4,739.
Sementara itu , ketika menyentuh mengenai kelemahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam menempuh pemilihan parti tahun ini, Johari berkata pihaknya akan memperbaiki kelemahan tersebut pada masa akan datang.
"Kita tidak menafikan bahawa pemilihan ini perlu diperbaiki pada masa akan datang, isu gengster misalnya, tidak adil jugalah kekalutan itu disebabkan oleh kami sebab mereka yang mencetuskan pemilihan sebelum ini adalah bukan ahli parti.
"Kami bukan sempurna, kami akan mencadangkan macam mana nak pertingkatkan pemilihan pada parti," katanya.