Pendapat Sultan tiada kuasa mutlak pilih MB bukan pendirian PAS, kata Mustafa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pendapat Sultan tiada kuasa mutlak pilih MB bukan pendirian PAS, kata Mustafa

PAS Selangor dan PAS Pusat hari ini sepakat menjauhi kenyataan Khalid Samad semalam yang pengguna Internet (netizen) berpandangan Sultan Selangor tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak melantik menteri besar.

"Ia bukan menggambarkan pendirian PAS," kata mereka, sebaliknya berkata ia adalah pandangan peribadi ahli Parlimen Shah Alam itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Selangor Zaidy Abdul Talib berkata kenyataan Khalid tidak mewakili pandangan rasmi parti.

"Pendirian PAS seperti yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, di mana Tuanku merupakan kata pemutus dalam pelantikan menteri besar," kata Mustafa sebagaimana dilaporkan Harakahdaily hari ini.
Zaidy dalam kenyataan berasingan berkata kenyataan Khalid itu bukan menggambarkan pendirian PAS Selangor.

Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam sidang medianya berkata, netizen kini mula memberikan pandangan Sultan tidak sepatutnya diberi hak mutlak melantik menteri besar kerana sistem yang menjadi amalan di negara ini adalah sistem raja berperlembagaan.

Katanya, mereka membangkitkan perkara itu ekoran krisis menteri besar Selangor selepas PAS menyerahkan dua nama kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau mendakwa bukan saja pengguna Internet, malah ahli akademik dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut berpendirian sama.

Namun kemudiannya, Khalid berkata beliau hanya menjawab persoalan yang dikemukakan wartawan, dan pandangan itu bukan daripada dirinya sendiri.

"Saya kata itu pandangan netizen, bukan semestinya pandangan saya," kata Khalid ketika menghubungi The Malaysian Insider.

Pada sidang media itu, Khalid berkata:"Ada yang berpendapat, ia bukan penduluan yang baik. Oleh kerana sistem di Malaysia adalah sistem raja berpelembagaan, kita tidak patut bagi Sultan kuasa untuk membuat keputusan siapa patut menjadi menteri besar secara bersendirian, tetapi itu hanya pendapat."

Ketika ditanya siapa yang memberi pendapat itu, Khalid berkata, ia diperkatakan di sekitar alam maya iaitu dunia Internet, "oleh ahli akademik, Mahathir."

Khalid dalam kenyataan asalnya berkata, dalam menentukan calon menteri besar Selangor, PAS mendapat indikator dari istana, bukan semestinya daripada Sultan sendiri, yang mereka mahu lebih satu nama.

"Jadi, PAS meletakkan dua nama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail iaitu presiden PKR dan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali," kata Khalid.

Sementara itu, Mustafa turut mengingatkan semua pimpinan PAS agar tidak membuat kenyataan peribadi secara terbuka khususnya berkait dengan isu sensitif.

"Kenyataan peribadi pemimpin PAS ini kadang-kadang disalah tafsir sebagai pendirian rasmi PAS.

"Jadi, jangan buat kenyataan peribadi secara terbuka, terutama dalam perkara sensitif," katanya. – 22 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pendapat-sultan-tiada-kuasa-mutlak-pilih-mb-bukan-pendirian-pas-kata-mustaf#sthash.8pzMnsd8.dpuf
0 Komentar untuk "Pendapat Sultan tiada kuasa mutlak pilih MB bukan pendirian PAS, kata Mustafa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI