PETALING JAYA - Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas diumumkan Pengerusi Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul di sini, hari ini.
Tambah Johari, menurut peruntukan Perlembagaan PKR Perkara 47 mengesahkan bahawa semua pemenang ini adalah telah memenuhi semua kriteria.
"Azmin berjaya menewaskan pesaingnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
"Azmin berjaya memperolehi 22,562 undi sementara Saifuddin 10,743 undi, " katanya pada sidang media tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pesaing dalam perebutan kerusi Timbalan Presiden Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terkeluar daripada saingan bagi merebut jawatan tersebut selepas dipecat dari parti.
Manakala Nik Nazmi Nik Ahmad pula terpilih sebagai Ketua Angkatan Muda PKR yang baharu, dan  Zuraidah Kamaruddin berjaya mempertahankan jawatan ketua Wanita.
Dalam pada itu, JPP memaklumkan bahawa pihaknya menerima sebanyak 553 bantahan daripada semua cabang dibuat kepada Jawatankuasa Aduan untuk pemilihan kali ini.
Dalam masa sama Johari menjelaskan keputusan pemilihan parti itu mengambil masa yang lama kerana tidak mahu sebarang kesilapan dalam menentukan jumlah undi yang sebenar bagi mengelakkan sebarang bantahan.
"Kami tidak mahu keputusan (salah) dan kita betulkan, sebab itu kita ambil masa untuk umumkan, ini menunjukkan kita telus, kita terima semua aduan," katanya.
Untuk rekod Presiden parti Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail menang tanpa bertanding.