PRK Pgkl Kubor medan pulih imej Pakatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PRK Pgkl Kubor medan pulih imej Pakatan


Analisis Isu

Pemuda PAS Perak mengakui imej Pakatan Rakyat "sedikit tercalar" ekoran kegagalan menguruskan krisis menteri besar Selangor yang masih belum selesai keseluruhannya.


Pengarah Pilihanrayanya Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata Pakatan perlu menjadikan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor sebagai medan memulihkan imej dan meyakinkan semula pengundi untuk terus bersama gabungan itu.

"Pengkalan Kubor juga seharusnya menjadi gambaran kepada rakyat bahawasanya kerjasama Pakatan Rakyat sangat utuh dan akan terus dikekalkan bagi menghadapi seteru utama iaitu BN dan segala konflik yang timbul akan diselesaikan secara musyawarah.

"PKR juga boleh mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan parti itu kukuh dan sudah pulih daripada konflik serta tidak mempunyai perpecahan seperti yang digambarkan oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Fakhrulrazi berkata pilihan raya kecil itu sebagai pentas Pakatan menilai kembali prestasi dan mood rakyat ekoran konflik itu sekaligus memperkukuhkan gabungan demi merampas semula kerusi yang dimenangi BN.

Beliau turut berkata pihaknya akan mengarahkan seluruh jentera Pemuda PAS negeri itu membuat persediaan dari pelbagai aspek di samping menunggu arahan pucuk pimpinan PAS untuk membantu PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari pula menuntut PKR memberi laluan kepada parti itu bertanding mewakili Pakatan Rakyat di dalam pilihanraya kecil itu.

Katanya, tuntutan itu dibuat berdasarkan tinjauan di akar umbi yang jelas mahukan calon PAS bertanding selepas dua kali pilihan raya umum ia diserahkan kepada PKR.

"Isyarat penolakan tersebut lebih jelas apabila undi yang diperolehi oleh calon PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar di peringkat parlimen melebihi dari undi yang diperolehi oleh calon Umno di DUN tersebut namun PKR tetap gagal untuk menawan DUN berkenaan.

"Senario begini hakikatnya berlaku di hampir kesemua lokasi yang ditandingi oleh PKR di seluruh negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau bagaimanapun tetap menghormati PKR dan DAP dan pada masa yang sama menegaskan PKR tidak boleh mengetepikan fakta dan hakikat yang berlaku.

"Jika Pakatan Rakyat serius untuk menawan kerusi DUN tersebut, tidak ada cara lain melainkan memberikan laluan kepada PAS untuk mengemukakan calon. Dengan demikian, peluang untuk menang lebih cerah," katanya. - Malaysiakini
0 Komentar untuk "PRK Pgkl Kubor medan pulih imej Pakatan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI