BN mula persiapan awal PRK Pengkalan Kubor - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

BN mula persiapan awal PRK Pengkalan Kubor

Barisan Nasional telah membuat persiapan awal di peringkat kawasan dan negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Kelantan, berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengerusi perhubungan Umno Kelantan mengambil inisiatif dalam membuat persiapan awal bagi menghadapi PRK itu.

"Apa yang penting ialah persiapan-persiapan awal seperti menubuhkan jentera pilihan raya di peringkat negeri dan kawasan dan itu sudah dimulakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh hari ini.



Beliau berkata persiapan awal itu perlu dibuat sebelum memutuskan siapa bakal diturunkan sebagai calon.
PRK Pengkalan Kubor bakal diadakan berikutan wakil rakyatnya, yang juga Ketua Umno Tumpat, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, meninggal dunia Rabu lepas akibat kanser hati.

Allahyarham menjadi Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan pada PRU13, mewakili BN mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, dengan majoriti 1,736 undi.

Ditanya mengenai usul Wanita Umno supaya kepimpinan tertinggi parti mempertimbangkan satu kerusi tambahan bagi jawatan naib presiden Umno diberikan kepada anggota sayap itu, Muhyiddin berkata cadangan itu belum dibincangkan secara mendalam oleh pucuk pimpinan Umno.

"Ini masih lagi dalam peringkat penjelasan yang dibuat oleh Wanita Umno," katanya sambil menjelaskan bahawa perkara itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerana perkara itu memerlukan pindaan perlembagaan parti.

"Tapi sebelum sampai ke peringkat itu, kita nak dapatkan input dan pandangan yang pro, yang kontra dan sebagainya," kata Muhyiddin. – Bernama, 24 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-mula-persiapan-awal-prk-pengkalan-kubor#sthash.VPvP4uTN.dpuf
0 Komentar untuk "BN mula persiapan awal PRK Pengkalan Kubor"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI