GEORGETOWN - Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim menerima surat yang memaklumkannya dikeluarkan dari semua jawatankuasa tetap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Surat bertarikh 26 September lalu ditandatangani Setiausaha Perbandaran, Ang Aing Thye dan turut dihantar kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow sebagai salinan.

Dalam surat itu, ia menyatakan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan pada 25 September memutuskan mengeluarkan Iszuree dari semua jawatankuasa tetap MPPP serta semua peruntukannya dibekukan.

Ketika dihubungi semalam, Iszuree mengesahkan menerima surat itu pada jam 7 malam semalam.

Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak dapat menerima konsep kebebasan bersuara setelah dikritik.

Difahamkan, Iszuree dikenakan tindakan itu susulan ucapannya di Muktamar Pas di Batu Pahat, Johor baru-baru ini yang menyentuh tentang polisi perumahan di negeri ini.

Di dalam laman Facebooknya, Iszuree meluahkan perasaannya apabila menyamakan pemerintahan di Pulau Pinang seperti pimpinan komunis.

Status yang dimuatnaik iaitu: "Kebebasan suara telah mati di Pulau Pinang, apa guna Speakers Corner di Padang Kota. Pemerintahan Muo Tze Tong…penuh hasat dan dendam," itu jelas menunjukkan dia amat terkilan dengan kepimpinan di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika ditemui di Majlis Perasmian Mapex City di Spice Arena di Relau disini, enggan mengulas isu tersebut.

Beliau hanya menjawab: "Saya tiada komen."