Putrajaya tangguh larangan dapur jalanan hingga Aidilfitri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Putrajaya tangguh larangan dapur jalanan hingga Aidilfitri

Larangan memberi makan kepada gelandangan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur akan dikuatkuasakan selepas Aidilfitri, kata Kementerian Wilayah Persekutuan. Gambar fail The Malaysian Insider.
Larangan memberi makan kepada golongan tidak berumah di sekitar pusat beli-belah Lot 10, Kuala Lumpur akan tetap dikuatkuasakan tetapi ia hanya akan dilakukan selepas Aidilfitri, kata Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Larangan tersebut yang sepatutnya berkuatkuasa semalam, menimbulkan kemarahan orang awam dan mereka yang melakukan kerja amal termasuk kumpulan dapur jalanan kerana merasakan ia bertentangan dengan semangat Ramadan.

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, kementeriannya tidak bermaksud menunjuk-nunjuk kuasa dalam menguatkuasakan peraturan tersebut tetapi hanya bertujuan memastikan kebersihan bandar raya Kuala Lumpur dan orang awam dapat menggunakan kemudahan dan kawasan itu dengan selesa.

"Kita bukan melakukannya semata-mata untuk menguatkuasakan undang-undang. Kita mahu pertubuhan bukan kerajaan bersama-sama dengan kita dalam memastikan kebersihan bandar raya.
“Sekiranya golongan tidak berumah terus memenuhi kawasan ini sepanjang masa, bagaimana dengan orang lain yang mahu menggunakan kawasan ini juga," katanya selepas sesi dialog dengan badan kebajikan hari ini.

Semasa mengumumkan larangan itu minggu lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga memberi amaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyaman mereka yang terus memberi makan kepada golongan tidak berumah.

Beliau juga mendakwa dapur jalanan bertanggungjawab kerana menggalakkan tabiat malas di kalangan golongan tidak berumah, mengotorkan jalan dan mengundang haiwan pembawa penyakit seperti Leptospirosis.

Sementara itu, Adnan berkata dialog hari ini berjalan dengan lancar tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan.

"Kami telah menjemput 12 NGO dan semua mereka hadir. Kami telah dengar apa yang mereka hendak katakan," katanya.

Kementerian juga katanya akan menubuhkan sebuah makmal untuk memikirkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani isu golongan tidak berumah ini.

"Pihak dapur jalanan akan dijemput untuk menyertai makmal tersebut supaya kita dapat bersama-sama menyelesaikan hal ini. Kita akan bincangkan isu seperti penempatan, logistik dan bantuan kewangan. Ini adalah kerana sebahagian dapur jalanan juga menghadapi masalah mendapatkan bantuan kewangan," kata Adnan.

Mengenai Ops Qaseh yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menjadikan Kuala Lumpur sifar gelandangan dan pengemis, beliau berkata ia masih dalam perbincangan.

Sementara itu, pengasas Pertiwi Soup Kitchen Munirah Abdul Hamid berkata ada antara perkara yang dibincangkan hari ini tidak begitu jelas.

"Kita masih belum ada penyelesaian untuk masalah itu. Saya harap ia akan dibincangkan dalam makmal itu nanti," katanya.

Alvin Santhanam, penyelaras Carl's Kitchen di St John's Cathedral di Bukit Nanas, berkata beliau tidak berpuashati dengan hasil dialog hari ini.

"Mereka bercakap tentang penyelesaian jangka panjang. Tiada penyelesaian jangka pendek dibincangkan. Tetapi sebenarnya, ini bukan tentang DBKL atau dapur jalanan. Ini ialah tentang golongan tidak berumah.

"Saya harap makmal itu akan ditubuhkan dan mula beroperasi sebelum Aidilfitri. Janganlah kita sengaja melewat-lewatkan isu ini," kata Santhanam.

Difahamkan bahawa satu lagi sesi dialog akan diadakan esok. – 8 Julai, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/putrajaya-tangguh-larangan-dapur-jalanan-hingga-aidilfitri#sthash.5CVUB2Ld.dpuf
0 Komentar untuk "Putrajaya tangguh larangan dapur jalanan hingga Aidilfitri "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI