YAN - Majlis Agama Islam negeri perlu lebih kerap melakukan penguatkuasaan terhadap pemilik premis perniagaan yang menjual makanan kepada individu ponteng puasa tanpa alasan kukuh.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penguatkuasaan yang kerap dan teratur akan memastikan tiada premis melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Agama serta hanya menjual makanan selepas pukul 3 petang pada bulan Ramadan.
 
Beliau berkata pelanggaran peraturan itu adalah disebabkan sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda pada bulan Ramadan.
 
"Penjual makanan perlu faham nak cari rezeki biarlah diyakini halal kepada keluarga dan ia boleh menjadi haram apabila menjual makanan itu kepada orang
yang tidak berpuasa (tanpa alasan kukuh).
 
"Mereka perlu mengikut peraturan bagi memastikan tiada penjualan makanan sebelum pukul 3 petang," katanya.

Jamil Khir berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan untuk 44 masjid dalam Parlimen Jerai hari ini.
 
Dalam pada itu, beliau menambah, Majlis Agama negeri perlu menggunakan enakmen sedia ada bagi membanteras kegiatan mesin perjudian dalam kalangan orang Islam, terutama dalam bulan Ramadan.
 
Katanya, selain jabatan agama, polis dan agensi lain perlu bersama-sama membanteras aktiviti itu.
 
Pada majlis itu, Umno Bahagian Jerai mengagihkan sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada imam masjid berupa kurma, air zam zam dan
pakaian. - Bernama