Myteksi ke Johor Bahru
Adelene Foo (kanan) ketika pra pelancaran aplikasi MyTeksi.
PENERAJU aplikasi tempahan mudah alih teksi negara, MyTeksi menjalin kerjasama dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) dan Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ) untuk meluaskan rangkaian ke Johor Bahru.

Pengurus Besar MyTeksi Sdn Bhd, Adelene Foo berkata, sistem pengangkutan bersepadu sedia ada di Iskandar Malaysia akan bertambah melalui kerjasama dengan PAIM.

"Penembusan ke pasaran Johor akan meningkatkan kehadiran kami di Malaysia untuk memenuhi keperluan penumpang yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, kerjasama dengan KPMNJ akan membolehkan MyTeksi menggunakan perkhidmatan tempahan teksi mudah alih kepada kumpulan awal pemandu teksi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PAIM, Mohd Gadaffie Abd Aziz berkata, dengan keluasan Iskandar Malaysia tiga kali ganda lebih besar berbanding Singapura, kecekapan rangkaian pengangkutan adalah penting untuk berjaya menjadi salah satu daripada pembangunan bandar bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Katanya, pelaburan dan peluang perniagaan di Iskandar Malaysia dijangka mewujudkan beribu-ribu pekerjaan untuk penduduk tempatan dan pegawai asing.

Mohd Gadaffie berkata, perkongsian strategik dengan MyTeksi membantu mencapai wawasan menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang cekap.