TPP: Kerajaan tak akan gadai kedaulatan negara
Mustapa menjelaskan pendirian kerajaan mengenai TPP.
SHAH ALAM - Kerajaan memberi jaminan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak akan menggadaikan kedaulatan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendirian kerajaan dalam rundingan TPP mengambil kira tiga perkara utama iaitu perlembagaan negara, kuasa kerajaan negeri dan dasar negara seperti hak Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana.

"TPP masih dalam proses rundingan dan belum pasti akan dilaksanakan. Tetapi kerajaan tidak akan menandatanganinya jika TPP akan mengorbankan kepentingan negara," katanya.

Namun, Mustapa turut mengingatkan semua pihak supaya lebih realistik kerana setiap perjanjian perdagangan, sama seperti peraturan lain sedikit sebanyak mempunyai kesan negatif di sebalik manfaat yang diperoleh.

Mustapa turut menyentuh dasar Malaysia yang selama ini bersikap terbuka terhadap perdagangan antarabangsa dan menegaskan Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan sebagai negara yang bebas berdagang.

"Kita negara perdagangan ketiga di belakang Hong Kong dan Singapura, kita sangat bergantung kepada perdagangan kerana kita ada (hasil bumi) tapi kita tak mampu buat semua," jelasnya.

Sementara itu, menyentuh kebimbangan banyak pihak yang melihat masa untuk rundingan antara kerajaan dan wakil industri serta badan bukan kerajaan (NGO) semakin suntuk kerana TPP ingin dimuktamadkan tahun ini, Mustapa berkata itu hanyalah waktu sasaran yang boleh diubah.

"Tempoh akhir itu hanya sasaran yang diletakkan semua 11 negara TPP. Sasaran ini penting, tak kan kita nak berunding sampai 20 tahun.

“Sasaran itu tidak perlu sampai mengorbankan negara. Ini hanya sasaran untuk uruskan masa. Kalau timbul isu besar (dalam rundingan TPP) dan jadi terlalu rumit, kita tidak akan tandatangani (mengikut tempoh sasaran),” katanya.

Mustapa turut menjawab kebimbangan TPP akan menjejaskan hubungan perdagangan dengan China, iaitu rakan dagang terbesar Malaysia seperti yang disuarakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

"Kerajaan beri jaminan TPP tidak akan ganggu perdagangan sedia ada seperti Asean dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan beberapa negara termasuk China.

Selain itu, berhubung isu syarikat milik kerajaan (GLC) yang dikatakan terpaksa bersaing dengan syarikat multinasional luar negara apabila TPP dilaksanakan, Mustapa berkata kerajaan sentiasa mendapatkan pandangan GLC seperti Petronas dan Khazanah Nasional mengenai perkara ini.

“GLC penting kepada negara. Takkan kita mahu biar GLC yang banyak beri sumbangan kepada negara lingkup hanya untuk TPP,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menerima banyak persepsi termasuk TPP akan membebankan perusahaan kecil dan sederhana sedangkan perkara itu tidak akan berlaku.

“Walaupun akan ada tender terbuka, tetapi hanya melibatkan sesetengah perkara dan bukan semua perkara kita mahu didagangkan secara terbuka.

“Satu kaukus Parlimen juga baru ditubuhkan untuk dengar pandangan mengenai TPP dan ia diwakili empat wakil BN dan tiga daripada PR. Ini menunjukkan kerajaan tidak pernah menyorokkan apa-apa daripada rakyat," katanya.