Wacana 22
SHAH ALAM - Wacana Sinar Harian Siri ke-22 semalam mengupas isu Perjanjian Perdagangan Antarabangsa : Apa Untuk Malaysia telah menarik  perhatian masyarakat  khususnya golongan profesional dan berkepentingan untuk mengikuti wacana tersebut.

Kebanyakan peserta yang ditemui Sinar Harian Online nyata mahukan pendirian jelas daripada Kerajaan dalam meredakan kerisauan rakyat.

Menurut seorang mahasiwa dari Universiti Islam Malaysia (UIAM), Muhammad Najib Abdurrahim 24, Kerajaan perlu menyatakan satu pendirian bagi mengelak kerisauan dalam kalangan masyarakat terutamanya yang melibatkan kepentingan bumiputera.

"Jaminan yang diberi mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTP) masih tidak jelas.

“Kerajaan sendiri perlu buat sesuatu, kalau diperingkat badan bukan kerahaan (NGO) dan Majlis Perundingan pun tidak jelas apatah lagi rakyat biasa seperti kita,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berharap kerajaan memuktamadkan perkara ini dan kerajaan perlu beri jaminan seandainya perjanjian ini dimetrai.

“Masih banyak lagi perkara tidak dijelaskan.

“Surat perjanjian perlu didedahkan kepada rakyat, baru perasaan khuatir rakyat akan hilang,” katanya.

Sementara itu menurut ahli Persatuan Jihad Ekonomi Muslim, Hamzah Ahmad 42, beliau juga senada dengan Muhammad Najib, baginya perkara pokok yang rakyat mahukan ialah penjelasan intipati perjanjian tersebut.

“Saya rasa perkara yang paling utama ialah penjelasan inipati perjanjian tersebut.

“Apa yang merisaukan saya ialah maklumat yang diterima adalah bersifat berat sebelah.

"Saya mencadangkan kepada kerajaan supaya intipati perjanjian ini dibukukan bagi mendedahkan maklumat kepada rakyat," katanya lagi.

Sementara itu menurut, Pengarah Fama Selangor, Mansor Omar beliau berpandangan apa yang perlu kerajaan lakukan sekarang ialah memberi penerangan dan kefahaman kepada masyarakat Malaysia.

“Saya rasa apa yang paling penting ialah Kerajaan perlu memberi penerangan yang lebih luas lagi kepada  masyarakat Malaysia.

“Ianya patut dilaksanakan (memberi penerangan) kerana masih ramai rakyat Malaysia yang masih keliru berkaitan isu ini,” katanya.

Manakala menurut Pengarah Bahagian Hubungan Awan Puncak Niaga Mohd Sufian Said pula, beliau memuji tindakan Mustapa yang berani merungkaikan salah faham orang ramai  berkenaan isu ini.

“Merungkai kerumitan kesalahan faham orang ramai mengenai perjanjian TTP ini sangat baik.

"Sebelum ini orang ramai agak skeptikal tapi bila menteri beri penerangan bahawa negara kita tetap dijaga, barulah kita rasa lega,” katanya.

Tambah beliau, rakyat tidak perlu takut kerana Kerajaan Malaysia akan menjaga kepentingan negara dan rakyat terutama usahawan bumiputera.

Wacana yang berdurasi selama satu jam setengah itu, mengetengahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (Mtem), Mohd Nizam Mashar sebagai panelis.

Sementara itu, moderator yang mengendalikan program tersebut ialah Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.