Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
SHAH ALAM –  Tanggapan kerajaan terlalu berahsia dalam isu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) hanya satu persepsi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, pihak luar beranggapan maklumat berhubung TPP masih tidak cukup, sedangkan banyak pertemuan antara kerajaan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Tindakan Ekonomi Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Persepsi segelintir pihak katakan seolah-olah kita menyorok, tetapi apabila saya katakan begitu, kita harus sedar tidak ada sesuatu yang dilakukan tidak ada kesan buruk.

“Jika kita mahukan setiap tindakan tidak akan ada pihak terjejas, ia mustahil," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri ke-22, bertajuk 'Perjanjian Perdagangan Antarabangsa: Apa untuk Malaysia?' di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Mustapa adalah menteri pertama menjadi panel di pentas Wacana Sinar Harian sepanjang 22 kali diadakan.

Beliau berkata, mana-mana dasar lakukan, pasti ada pihak akan terjejas dan ini termasuk perjanjian TPP.

"Sebagai contoh pembinaan lebuh raya, ia bagus dan kita dapat bergerak lebih cepat, tetapi mesti ada kemalangan.

"Apa yang penting, pembinaan lebuh raya ini mendatangkan faedah kepada negara, walaupun berlaku kemalangan," katanya.

Katanya, kerajaan ambil kira tiga parameter dalam menjalankan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) TPP.

Katanya, tiga parameter itu menjadi panduan rundingan yang meliputi Perlembagaan dan undang-undang, hubungan Kerajaan Negeri dan Pusat serta dasar negara.

Beliau berkata, setiap negara mempunyai hak dan isu berkaitan kedaulatan adalah isu besar yang Malaysia tidak akan berkompromi.

“Kita negara merdeka, kita pastikan kepentingan terpelihara. Saya ingin tegaskan, tiga parameter ini jadi panduan kita,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa perjanjian tersebut masih dalam peringkat rundingan dan masih belum dimuktamadkan lagi.

“Beberapa pandangan dibawa ke meja rundingan adalah berasaskan konsultasi dengan pihak berkepentingan dan tiada muktamad,” katanya.

Beliau berkata, berkaitan alam sekitar, pihaknya berjumpa wakil Kerajaan Negeri yang tetap menegaskan soal air dan balak adalah hak negeri.

“Maka, itulah pendirian Kerajaan Pusat. Kita menyatakan tidak setuju dengan syarat dikenakan (dalam TPP).

"Begitu juga dalam soal ubat-ubatan, di mana dalam hal ini, kita tahu banyak pihak tidak setuju cadangan Amerika Syarikat, kerana ia akan membawa kesan buruk. Kita tidak akan setuju dengan cadangan yang memberi kesan buruk kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, berhubung akses pasaran pembinaan, rundingan telah dilakukan bersama persatuan kontraktor dan dewan perniagaan.

Beliau juga menafikan dakwaan tender pembinaan serendah kira-kira RM25 juta akan dibuka kepada negara luar apabila TPP dilaksanakan.

"Kalau tender nak bina sekolah di Jeli (Kelantan) pun boleh dibuka kepada AS, kita pun takut. Itu tak betul. Kita ada had nilai yang tinggi yang kita dah tetapkan untuk tender kerajaan," katanya.