Sampel DNA tercemar tidak diendahkan, kata peguambela - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sampel DNA tercemar tidak diendahkan, kata peguambela

Peguambela Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencemaran yang terdapat pada sampel DNA digunakan dalam perbicaraan liwat ketua pembangkang itu satu perkara penting tetapi tidak dipedulikan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 6 November, 2014.

Pencemaran yang terdapat pada sampel DNA digunakan dalam perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu perkara penting tetapi tidak dipedulikan, peguambela Anwar berkata memulakan hujah penutupnya pada hari terakhir rayuan kes tersebut hari ini.

Ramkarpal Singh memberitahu Mahkamah Persekutuan, kewujudan Alel 18, yang tidak bersumberkan sama ada perayu atau pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, tidak diendahkan pegawai kimia kerajaan.

Beliau berkata pencemaran harus dilaporkan walaupun ia tidak muncul dalam enam lokus.

Ramkarpal menyanggah pihak pendakwaan yang berhujah mengatakan alel asing mesti tampak dalam sekurang-kurangnya enam lokus sebelum profil itu boleh dikatakan dicemari oleh pihak ketiga.
Isu penggunaan sampel DNA tercemar digunakan pihak pembelaan bagi menyokong kesnya yang keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan itu tidak boleh dipercayai.

Ramkarpal berkata, sedangkan di dalam manual mesin profil DNA yang digunakan ahli kimia Nor Aidora Saedon, dinyatakan yang kehadiran satu lokus dalam bacaan sudah cukup bagi menyimpulkan wujud pencemaran DNA asing.

"Tidak boleh hendak lebih neutral dari itu," katanya.

Sepanjang enam hari perbicaraan rayuan ini, peguam bela berhujah, memetik salah seorang saksi pakarnya Dr Brian McDonald, yang mengatakan satu lokus sudah cukup melaporkan terdapatnya pencemaran.

Ahli kimia kerajaan bagaimana pun berkata, Alel 18 merupakan satu 'inconsequential stutter' (gangguan yang tidak penting).

Ramkarpal berkata Aidora boleh menyokong konklusinya dalam mengenepikan Alel 18 itu menggunakan teori enam lokus, tetapi beliau tidak melakukan begitu. Sebaliknya, beliau mengatakan ia mungkin berpunca dari 'sporadic contamination' (pencemaran sekali-sekala).

Kegagalan beliau melaporkan pencemaran itu, kata Ramkarpal, ialah kegagalan mematuhi garis panduan dan protokol.

Pihak pembela juga menyangkal hujah pendakwaan yang Alel 18 "mungkin boleh" dimiliki doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas dakwaan liwat itu.

Ketua pendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan yang bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohd Osman Abdul Hamid, mungkin memperkenalkan DNAnya sendiri kepada bukti itu sewaktu melakukan protoskop ke atas Saiful.

Ramkarpal berkata Shafee "tiada langsung bukti" menyokong hujahnya yang Alel 18 datang dari Dr Osman.

Dakwaan itu juga tidak masuk akal kerana ketiga-tiga barangan diambil dari lokap polis di mana Anwar ditahan, katanya.

Alel 18 ditemui bukan saja pada rektum Saiful, tetapi juga pada ketiga-tiga barangan didakwa digunakan Anwar semasa dalam tahanan reman, iaitu berus gigi, botol air dan tuala.

Sambil menegaskan ini menunjukkan wujud pencemaran sampel oleh pihak ketiga, Ramkarpal berkata pendakwaan mesti menolak keterangan ahli kimia itu yang mengatakan wujud 'pencemaran tidak bersalah' (innocent contamination) dan memberi penjelasan sewajarnya.

"Shafee heboh mengatakan pegawai penyiasat Jude Pereira perlu diberi manfaat dari keraguan. Kita tidak boleh katakan padanya yang beliau mencemari bukti... tetapi yang kita tahu ialah, ada pihak ketiga yang mencemari bukti itu," katanya.

Pereira merupakan pegawai yang menerima sampel DNA Saiful daripada doktor hospital dan mengendalikan sampel dari barangan lokap Anwar sebelum menyerahkannya kepada pihak forensik.

Ditanya mahkamah sekiranya pembela bergantung kepada 'penyisihan' bagi membuktikan kesnya, Ramkarpal bersetuju dan berkata Mahkamah Rayuan tidak berlaku adil apabila meletakkan beban ke atas pembela bagi membuktikan pencemaran terjadi.

"Tidak selamat bergantung kepada bukti yang terjejas," katanya.

Selain terjejas, Ramkarpal memberitahu mahkamah tertinggi sampel DNA itu juga mengalami degradasi.

Sampel yang diambil dari dubur Saiful hanya dicalit kira-kira 56 jam selepas dia didakwa diliwat dan ia tidak diberi penjagaan yang sepatutnya sebelum diserahkan kepada ahli kimia.

Ramkarpal berkata dakwaan ahli kimia mengatakan degradasi itu tidak signifikan bermakna satu set sampel lain digunakan, bukannya sampel yang dikutip, maka bukti itu juga terjejas.

Beliau juga membantah undang-undang kes dipetik Shafee bagi menunjukkan DNA ialah protein yang lebih tahan dan boleh dibaca walaupun selepas masa yang lama. Shafee memetik satu kes Australia di mana DNA seorang perogol dikenal pasti pada tuala mangsa selepas 13 tahun setengah.

Ramkarpal bersetuju yang DNA boleh dikesan daripada fosil berusia jutaan tahun, tetapi ini tidak berlaku dalam hal Anwar.

"DNA ini bukan diambil dari dubur dinosaur," katanya.

Ramkarpal berkata kes Australia itu tiada persamaan dengan kes Anwar, kerana air mani ditemui pada tuala dan bukan di dubur, di mana bakteria pada dubur akan menyebabkan degradasi.

Ia disokong artikel lain yang dipetik pihak pendakwa mengatakan sampel yang diambil daripada kawasan dubur atau faraj akan mengalami degradasi setelah 56 jam, katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar dibatalkan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun ini dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya diberi penangguhan sehingga selesai rayuannya di Mahkamah Persekutuan.

Ketua pembangkang itu dituduh meliwat Saiful di sebuah apartmen di Damansara pada 26 Jun, 2008.

Ini tuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pertama pada 1998 selepas beliau dipecat daripada kerajaan semasa masih memegang jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau dituduh meliwat bekas pemandu isterinya dan kemudiannya dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004.

Pasukan pembelaan Anwar diwakili 14 peguam diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Kes ini didengar panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. – 6 November, 2014.

* Laporan dibantu Tarani Palani, The Edge Financial Daily.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sampel-dna-tercemar-tidak-diendahkan-kata-peguambela#sthash.QIKVeJGA.dpuf
0 Komentar untuk "Sampel DNA tercemar tidak diendahkan, kata peguambela "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI