Saiful penyokong BN yang bencikan Anwar, Sri Ram beritahu mahkamah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Saiful penyokong BN yang bencikan Anwar, Sri Ram beritahu mahkamah

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Mahkamah Persekutuan bersama Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad selepas perbicaraan kes rayuannya ditangguh hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 November, 2014.

Karpet di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa meliwat bekas pembantunya, digunakan peguam bela dalam kenyataan penutupnya, bagi menyerlahkan lebih banyak jurang dalam hujah pihak pendakwaan dalam kes rayuan Anwar terhadap sabitan liwatnya di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram mula menggulung kenyataan penutup pembelaan dengan menggunakan karpet itu bagi menunjukkan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bukan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Karpet itu disita pihak polis dari satu unit kondominium - nombor 11-5-2 - bukan di tempat di mana kejadian jenayah itu didakwa berlaku. Karpet itu juga tidak menghasilkan sebarang keterangan forensik membuktikan jenayah yang dikatakan.

Dakwaan Saiful terhadap Anwar ialah ketua pembangkang itu meliwatnya di sebuah unit - nombor 11-5-1 - di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun, 2008.
Sri Ram berkata karpet itu mungkin dipindahkan dari satu unit ke unit yang lain, tetapi tidak ada bukti menunjukkan perkara ini. Kedua-dua unit juga tidak bersambung dari dalam.

Bagi membuktikan kejadian liwat yang dituduh itu benar berlaku, Sri Ram berkata, karpet itu mesti dijumpai dalam unit kondominium yang betul atau sekurang-kurangnya terdapat bukti ia dipindahkan.

Beliau memberitahu panel lima hakim mahkamah tertinggi itu yang karpet itu mungkin digerakkan oleh "lembu terbang," dan menambah, "Saya tidak percaya pada lembu terbang".

Sri Ram berkata tanpa karpet itu, pihak pendakwaan tidak mempunyai kes terhadap Anwar kerana ia penting dalam dakwaan yang dibuat Saiful.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, Saiful menambah "garam dan lada" kepada dakwaannya - yang akhirnya menimbulkan pertentangan dengan dirinya sendiri - dengan mengatakan pintu unit itu terkunci dari dalam semasa kejadian liwat didakwa berlaku.

Namun, beliau juga memberi keterangan mengatakan mereka menikmati teh dan karipap selepas kejadian yang dikatakan itu berlaku.

Sri Ram mempersoalkan bagaimana makanan dan minuman dibawa ke unit itu jika pintunya terkunci dari dalam.

Beliau juga menyangkal dakwaan pihak pendakwa yang mengatakan Anwar menggunakan teknik "Machiavelli" mengawal Saiful dan Saiful menganggap Anwar idolanya.

Hakikatnya, Sri Ram berhujah, Saiful "membenci" Anwar, berdasarkan bukti daripada posting beliau di akaun media sosial Friendster.

Saiful menulis posting menunjukkan beliau seorang yang pro-Barisan Nasional, Sri Ram memberitahu mahkamah.

Rakan Saiful, bernama Najwan, juga dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan dan dia berkata Saiful tidak boleh dipercayai.

"Najwan malah menghantar emel kepada Anwar, memberi amaran tentang Saiful," kata Sri Ram.

Pihak pendakwaan bagaimanapun menolak bukti ini, dan berkata Najwan "cemburukan" Saiful kerana dia bekerja dengan pemimpin pembangkang itu.

Sri Ram menggesa mahkamah mengambil keterangan Najwan secara serius, kerana ia mendedahkan kepalsuan dakwaan pihak pendakwa yang Anwar dan Saiful ada "hubungan".

Berhubung dakwaan mengenai sut mahal, faedah dan elaun yang diberikan kepada Saiful menjadi bukti hubungan mereka, Sri Ram berkata semasa perbicaraan Saiful membawa ke mahkamah seluar yang dikatakannya berjenama Brioni, tetapi ia tidak mempunyai label.

Jaket bagi sut itu juga tidak pernah ditunjukkan.

"Bukti yang dia diberi sut mahal tidak lagi boleh dipakai," kata Sri Ram, sambil menambah semua dakwaan mengenai faedah dan elaun hanya datang daripada Saiful, yang kredibilitinya menjadi persoalan.

Ketua peguam itu juga berhujah, Saiful bukanlah seorang yang baik seperti yang cuba ditonjolkannya dan merujuk mahkamah kepada satu tuduhan yang dia didakwa mempunyai hubungan dengan seorang pendakwa raya wanita semasa perbicaraan.

"Dia (Saiful) menggodanya bagi mendapatkan maklumat sulit," kata Sri Ram.

Menyanggah hujah lain dibangkitkan pihak pendakwa, Sri Ram menimbulkan keraguan berhubung pelincir yang didakwa digunakan semasa interaksi seksual itu, yang dinamakan sebagai bukti kejadian liwat itu berlaku.

Sri Ram berkata pegawai penyiasat Supt Jude Pereira pada mulanya menolak gel yang diberikan kepadanya sebagai bukti oleh Saiful, tetapi mengambilnya pada hari berikutnya bagi tujuan penyiasatan.

"Tambahan kepada fakta ini ialah tiada kesan jeli itu ditemui di atas karpet (di mana kejadian liwat didakwa berlaku)," katanya.

Mengenai kurangnya saksi alibi dipanggil, Sri Ram berkata, tiada adverse inference (kesimpulan negatif) sepatutnya dibuat terhadap Anwar kerana 13 saksi alibi yang pada awalnya dinamakan tidak dipanggil selepas salah seorang dikatakan diganggu pihak polis.

"Kami tidak mampu bawa kes ini ke depan kerana saksi kami diganggu," katanya, sambil menambah, pihak pendakwa sepatutnya boleh mengemukakan keterangan video menunjukkan sesi soal siasat polis bagi membuktikan tidak ada gangguan, tetapi mereka gagal berbuat demikian.

Sri Ram berkata, Anwar dalam satu kenyataan tidak bersumpah beliau dari kandang tertuduh semasa perbicaraan, menafikan melakukan jenayah itu.

Beliau mengingatkan mahkamah yang undang-undang Malaysia mengiktiraf hak tertuduh membuat kenyataan dari kandang, dan tidak sepatutnya ada sebarang adverse inference di sini.

Hujah terakhir Sri Ram petang ini mempertahankan doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas kejadian liwat yang dikatakan itu, Dr Mohd Osman Abdul Hamid, yang mendapati tidak ada bukti penetrasi zakar.

Dr Osman sebaliknya mendapati ada objek plastik yang dimasukkan ke dalam dubur Saiful, berdasarkan pengakuan Saiful sendiri semasa pemeriksaan perubatan.

Doktor itu tiada motif untuk memalsukan maklumat tersebut dalam laporan bertulisnya mengenai pemeriksaan itu, Sri Ram berkata, kerana dia tidak lagi berada di Malaysia setelah kembali ke Myanmar, negara asalnya.

Pihak pembelaan masih belum selesai membuat jawapan penutup dan Sri Ram akan menyambung hujahnya esok apabila perbicaraan disambung semula jam 3 petang.

Esok hari kelapan perbicaraan ini, membuatkannya yang terpanjang bagi sesuatu rayuan kes jenayah didengar di peringkat Mahkamah Persekutuan di Malaysia. – 6 November, 2014.

* Laporan oleh Tarani Palani, The Edge Financial Daily.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiada-karpet-tiada-kes-kata-peguam-kes-liwat-anwar#sthash.pY0QRoZZ.dpuf
0 Komentar untuk "Saiful penyokong BN yang bencikan Anwar, Sri Ram beritahu mahkamah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI