PAS bertegas mahu Azmin, Pakatan tetap dengan Wan Azizah, kata sumber - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PAS bertegas mahu Azmin, Pakatan tetap dengan Wan Azizah, kata sumber

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir pada sidang media Pakatan Rakyat petang semalam dan diwakili Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 18 Ogos, 2014.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat petang semalam berjalan dalam suasana yang mesra tetapi didominasi satu isu iaitu ketegasan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk memasukkan nama Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai calon pilihan menteri besar Selangor selain Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata sumber.

Parti Islam itu pada mesyuarat pagi semalam mencadangkan dua nama untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada PKR minggu lalu.

“Sehingga ke penghujung mesyuarat, Mustafa cuba usahakan supaya Pakatan letakkan dua nama: Azmin dan Dr Wan Azizah.

“Tetapi pandangannya itu suara minoriti. Akhirnya, kesepakatan yang menang. Pandangan majoriti ialah, kita hanya beri satu nama," kata pemimpin kanan Pakatan yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insider.
“Mengecewakan baginya dan (Presiden PAS Datuk Seri Abdul) Hadi Awang. Sebab itu mereka hendak dua nama. Sejak awal mereka tidak mahu Dr Wan Azizah, jadi, kalau satu nama yang dicalonkan, nampak tidak eloklah bagi mereka,” katanya.

Hadi bagaimanapun tidak hadir mesyuarat semalam, dikhabarkan kurang sihat, memaksa Mustafa memperjuangkan calon pilihan mereka itu seorang diri, kata sumber itu.

Sumber berkata, pemimpin PAS lain yang hadir mesyuarat itu termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu tidak menyokong hujah Mustafa dan bersetuju mencalonkan hanya Dr Wan Azizah.

“Akhirnya, kami faham, Azmin terikat dengan keputusan parti yang Dr Wan Azizah ialah satu-satunya calon pilihan. Jadi, untuk paksa mereka terima nama kedua bukan senang.

“Jadi, mesyuarat dan keputusan muktamad yang dicapai boleh dikatakan jelas dan mudah, walaupun Mustafa mencuba hingga ke akhirnya. Dan sudah tentu, memandangkan ramai yang terlibat, ambil masa sikit merangka kenyataan untuk dikeluarkan selepas mesyuarat itu,” katanya.

Sumber berkata, pandangan utama dalam mesyuarat itu ialah menyerahkan satu nama kepada Sultan Selangor dan membenarkan proses seterusnya berjalan lancar.

“Setengah pihak mencadangkan lebih baik masukkan nama Azmin, sebagai persediaan sekiranya Sultan menolak Dr Wan Azizah.

“Tetapi pandangan majoriti ialah, kita jangan membuat kesimpulan sebelum ia terjadi. Kalau kita letak dua nama, kita hanya akan membuka ruang untuk isu ini dipanjangkan lagi,” katanya.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, yang turut hadir mesyuarat itu, mengesahkan tiada "konflik besar" semasa perbincangan, tetapi dia enggan mengulas lanjut.

"Mesyuarat berjalan dalam suasana ceria, mesra dan menyenangkan. Tiada konflik besar, yang ada cuma persoalan bagaimana mencapai satu keputusan yang memuaskan hati semua," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, sumber PKR mendedahkan, parti itu dalam mesyuaratnya sebelum mesyuarat Majlis Pimpinan tidak membincangkan dengan panjang lebar cadangan PAS mencalonkan Azmin juga untuk jawatan menteri besar Selangor.

"Azmin sendiri menyokong Dr Wan Azizah dalam akuan berkanun (statutory declaration). Jadi, agak pelik (kalau dia juga hendak menjadi menteri besar)," kata seorang pemimpin kanan parti.

"Setakat yang PKR tahu, (pencalonan Dr Wan Azizah) adalah keputusan sebulat suara. Kita tidak bolehlah buat satu keputusan kemudian tidak jadi pula. Dalam PKR, kita lalui proses untuk bersetuju dengan pencalonannya, daripada biro politik hinggalah ke majlis pimpinan PKR,” katanya.

Sumber itu mengakui terdapat juga suara dalam PKR yang mahu Azmin dipertimbangkan, tetapi ia dianggap hanya pandangan peribadi. – 18 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-bertegas-mahu-azmin-pakatan-tetap-dengan-wan-azizah-kata-sumber#sthash.6XOMK0IR.dpuf
0 Komentar untuk "PAS bertegas mahu Azmin, Pakatan tetap dengan Wan Azizah, kata sumber "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI