Khalid perlu berundur sekarang, tidak perlu mengadap Sultan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Khalid perlu berundur sekarang, tidak perlu mengadap Sultan

Semua isyarat kini menunjukkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hilang sokongan untuk terus mentadbir Selangor. Gambar fail The Malaysian Insider.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan pertemuan dengan penjawat awam di Shah Alam pagi ini, urusan wajib beliau sejak menjadi menteri besar Selangor pada 2008.

Dengan alasan munasabah juga, beliau hilang sokongan PAS untuk terus kekal memerintah. PAS kini bersama PKR dan DAP menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baharu.

Khalid mengetahui hilang sokongan tersebut dan semalam berkata akan mengadap Tuanku Sultan Selangor untuk memutuskan nasibnya. Masalahnya, Sultan Selangor hanya kembali daripada bercuti minggu depan.

Tetapi mengapa tunggu Sultan untuk tentukan masa depannya? Kenapa berselindung di sebalik protokol istana?
Apabila pemimpin hilang sokongan majoriti seperti jelas berlaku ke atas Khalid dalam tempoh beberapa minggu ini, langkah terhormat adalah dengan meletak jawatan dan memberikan seseorang yang memiliki kepercayaan mengambil alih.

Malah, Khalid juga sudah memecat empat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) DAP dan PKR daripada pentadbirannya hanya kerana tidak mendapat sokongan mereka. Beliau perlu mengambil keputusan sama ke atas exco PAS.

Ini akan menyebabkan beliau hilang minimum empat exco untuk memerintah negeri terkaya dalam negara tersebut. Sokongan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) saja tidak memadai.

Semua isyarat sekarang menunjukkan Khalid sudah hilang kedudukannya. Beliau perlu letak jawatan. Beliau hanya perlu memberitahu Sultan dan tidak menanti untuk mengadap.

Mengapa Selangor perlu ditadbir seminggu atau lebih oleh seorang menteri besar yang tidak mempunyai sokongan? Adakah penjawat awam perlu menuruti arahannya kerana beliau masih mentadbir sehinggalah Sultan melepaskannya?

Khalid boleh mengambil tindakan sewajarnya selepas terseret dalam kemelut dengan Pakatan Rakyat. Bukan saja boleh, tetapi wajib.

Beliau boleh hantar surat peletakan jawatannya dan mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku menteri besar sehingga Sultan memutuskan untuk menerima atau tidak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid.

Atau Sultan boleh membubarkan dewan atas nasihat Khalid. Yang mana satu pun, Khalid perlu mengambil jalan terhormat dengan meletak jawatan terlebih dulu. Tidak perlu tunggu Sultan untuk membuat keputusan tersebut. – 18 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khalid-perlu-berundur-sekarang-tidak-perlu-mengadap-sultan#sthash.EIf5ffOm.dpuf
0 Komentar untuk "Khalid perlu berundur sekarang, tidak perlu mengadap Sultan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI