SHAH ALAM - "Bagus juga Pas bawa hudud ini, sebab Dr Wee Ka Siong (Timbalan Presiden MCA) sudah baca tentang hudud," demikian antara petikan menarik daripada Profesor Datuk Dr Asri Zainul Abidin sepanjang berlangsungnya Wacana Sinar Harian Siri ke-27 hari ini.

Menurut Asri, kelantangan Kelantan dalam membawa isu hudud pada masa ini telah menyebabkan ramai pihak mula buka mata dan cuba belajar tentang hukum itu.

"Ramai yang telah cuba belajar hukum ini.

"Tengok hari ini Ka Siong sudah baca tentang hudud,"  katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita" di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ka Siong memberitahu kepada peserta wacana dan ahli panel bahawa beliau telah mengambil masa hampir empat hari untuk membaca dan memahami tentang undang-undang hudud Kelantan sebelum memenuhi jemputan sebagai ahli panel wacana kali ini.

"Saya sudah baca empat hari dan minta kawan Melayu tolong jelaskan tentang hukum yang berkaitan," katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

Wacana kali ini turut menampilkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Dr Mushaddad Hasbullah.

Wacana ini, dikendalikan oleh penganalisis politik, Dr Maszlee Malik.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/hudud-ramai-sudah-buka-mata-kata-asri-1.277938