SHAH ALAM - Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengulangi penjelasannnya bahawa bukan Islam boleh dikenakan takzir dalam hukum hudud jika sabit melakukan jenayah.

Menurutnya, walaupun ketika pembuktian gagal mendatang empat saksi, bukan Islam itu boleh dikenakan takzir sahaja.

"Takzir itu adalah seperti undang-undang jenayah yang diamalkan di negara sekarang.

"Mana-mana kesalahan bukan Islam tidak akan dikenakan di mahkamah syariah, tapi dikenakan di mahkamah sivil," katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita' di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertikaian Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang mempersoalkan penjenayah akan terlepas daripada hukuman hudud hanya kerana bukan Islam sedangkan ia merampas dan menjejaskan hak pihak lain.

Mengulas lanjut, Mohd Amar menambah, walaupun penjenayah bukan Islam terlepas hukuman hudud, namun mereka masih terikat dengan undang-undang sivil sedia ada.

"Dalam kes rogol, hukum hudud tidak terima (kes itu) tapi boleh dikenakan takzir, dalam rogol memang sukar bawa empat orang saksi.

"Begitu juga perogol yang dibuktikan walaupun tidak dikenakan hudud, tapi hukum sivil menantinya," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/bukan-islam-kena-takzir-dalam-hudud-1.277920