SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob adalah calon paling layak menjadi Timbalan Presiden Pas dalam Muktamar Tahunan Pas kali ke-59, November ini.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, Ahmad memiliki ciri yang dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

Menurutnya, antara ciri dimiliki Ahmad adalah beliau merupakan ulama dan mempunyai ilmu agama yang tinggi.

“Jika dibandingkan calon lain seperti bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa dan Timbalan Presiden Pas sekarang Mohamad Sabu, Ahmad merupakan calon paling sesuai.

"Ahmad juga dilihat senang memberikan kerjasama dengan pimpinan Pas sekarang berbanding dua calon tersebut kerana sejarah kepimpinan mereka sebelum ini agak menyukarkan mereka untuk terpilih," katanya.

Beliau berkata demikian, sebagai mengulas kenyataan Nik Aziz yang mengakui mempunyai calon pilihan sebagai timbalan presiden, namun tidak mahu mendedahkan setelah beliau mahu Datuk Seri Abdul Hadi dikekalkan sebagai Presiden Pas.

Kelmarin, Nik Aziz memberitahu, pemimpin yang menjawat jawatan timbalan presiden Pas perlulah mempunyai ciri-ciri ulama dan memiliki ilmu agama yang tinggi.

Nik Aziz juga mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai Presiden Pas dan mahu jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Dalam masa yang sama beliau menyerahkan kepada ahli Pas untuk memilih calon timbalan presiden yang kini disandang Mohamad Sabu, namun menegaskan ia perlu diangkat dari golongan ulama.