KOTA BHARU – Pengurangan subsidi harga minyak petrol dan diesel merupakan langkah jangka masa panjang yang harus diambil bagi mengelak kesan buruk terhadap ekonomi negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, disebabkan itu, program rasionalisasi harus dijalankan kerana rakyat akan menanggung kesan yang lebih buruk jika subsidi itu tidak dikurangkan.
“RM23 bilion ini satu angka yang besar, jadi tidak ada negara yang mampu bertahan sampai bila-bila. Kita perlu adakan program rasionalisasi yang bukan dibuat sekaligus tetapi sedikit-sedikit.
Pada masa ini kerajaan masih memberikan subsidi lapan peratus bagi setiap liter.
“Di Thailand tidak ada subsidi langsung, jadi kita patut bersyukur dengan keadaan ini. Kerajaan terpaksa mengambil tindakan secara beransur-ansur kerana kalau tidak negara boleh muflis,” katanya mengulas isu kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen sejak Isnin lalu.
Mustapa sebelum itu melancarkan Kempen Nak Sihat Sempena Gegar 10,000 Langkah Merdeka, semalam.
Seramai 5,000 dianggarkan menyertai larian itu yang turut diketuai Mustapa sejauh kira-kira tiga kilometer bersama Pengarah Jabatan
Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (Kesihatan Awam), Dr Wan Mansor Hamzah.
Menurutnya, kerajaan tidak mahu negara menghadapi masalah besar, langkah yang diambil adalah penting untuk menjaga kestabilan untuk tempoh yang panjang.
Ketika ditanya kenapa kerajaan tidak menarik subsidi bahan bakar kepada pengeluar tenaga bebas (IPP), Mustapa berkata, tarif elektrik dijangka meningkat jika ia berlaku dan ia akan memberi kesan pada perniagaan dan menimbulkan masalah yang lebih rumit lagi.
Mustapa berkata, kerajaan memahami ada pihak terutama pembangkang yang tidak bersetuju dengan langkah kerajaan itu tetapi yakin rakyat akan memahami dengan mendalam kesan yang akan diterima pada masa depan.
http://www.sinarharian.com.my/kurang-subsidi-elak-kesan-ekonomi-1.199868
0 Komentar untuk "Kurang subsidi, elak kesan ekonomi"