KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) tidak perlu diswastakan, sebaliknya perlu meningkatkan profesionalisme dalam pengurusan syarikat agar mampu bertahan dalam persaingan industri penerbangan global.
  
Bekas Pengarah Urusan MAS Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata jika tidak diswastakan, MAS dapat mengekalkan statusnya sebagai syarikat penerbangan kebangsaan yang memberikan perkhidmatan bukan sahaja untuk mengaut keuntungan sebaliknya turut memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial.
  
"Kita tidak ada satu dasar penerbangan awam yang tetap, jadi kerajaan sudah luluskan banyak syarikat penerbangan yang gunakan kapasiti yang lebih berbanding dengan syarikat penerbangan kita sendiri. Ini satu dasar yang salah pada pendapat saya.
  
"Kita tengok macam Singapura, mereka ada SIA dan syarikat tambang murah tetapi di bawah SIA. Kita patut buat begitu tapi tidak. Kita bagi lesen kepada mereka (syarikat penerbangan lain) dan mereka bersaing dengan syarikat penerbangan kita," katanya.
  
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan sidang pleno Perlembagaan Persekutuan Lindungi Hak Pendidikan Saksama pada prakongres perdana pendidikan kebangsaan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata sekiranya MAS diswastakan, syarikat penerbangan kebangsaan itu mungkin akan menutup beberapa laluan di pedalaman Sabah dan Sarawak yang dilihat tidak mendatangkan keuntungan.
  
"MAS ini syarikat penerbangan kebangsaan bukan untuk perniagaan sahaja, untuk sosial juga. Setengah laluan itu ada kerugian, dan setengah ada keuntungan. Kalau swasta sahaja, kita buat penerbangan yang untung sahajalah. Yang tidak untung kita tidak akan buat," katanya.
  
Selain itu, Abdul Aziz antara individu terawal menyertai MAS semasa penubuhannya pada 1971 berkata syarikat penerbangan kebangsaan itu tidak perlu melibatkan warga asing dalam jawatan tinggi di syarikat itu.
  
"Kita tidak perlu ada orang asing begini kerana kita ada kepakaran dalam negara. Sudah berapa puluh tahun kita ada syarikat penerbangan sendiri, sudah ada pekerja kita yang ada pengalaman.
  
"Orang asing tidak tahu keadaan di sini. Sebab itu dari dulu saya tidak mahu bawa orang asing," katanya.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menswastakan MAS walaupun mengalami kerugian.
  
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala membuat cadangan supaya kerajaan keluar daripada industri penerbangan dengan menjual MAS. - Bernama