KUALA LUMPUR - Hari Koperasi Negara (HKN) 2013 yang akan disambut di Dataran Darul Aman, Jitra, Kedah pada 23 hingga 25 Ogos ini, menampilkan persembahan gendang dunia dari Jepun, Afrika, India dan Malaysia serta pertunjukan kesenian dari seluruh negara.
  
Selain itu, sebanyak sembilan anugerah akan disampaikan sempena sambutan itu  kepada koperasi cemerlang dalam pelbagai sektor, kata Ketua Sektor Pembangunan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Mohamad Jaapar Muhayat menerusi program Ala Carte Pagi di Bernama Radio24 hari ini.
  
Beliau berkata anugerah utama, Anugerah Koperasi Perdana, akan diberikan kepada pergerakan koperasi yang menunjukkan prestasi paling cemerlang sepanjang tahun lalu.
  
Anugerah lain ialah Anugerah Tokoh Koperasi, Anugerah Perkhidmatan Kewangan, Anugerah Pemborongan dan Peruncitan, Anugerah Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan, Anugerah Perladangan, Anugerah Hartanah dan Anugerah Koperasi Sekolah.
  
Mohamad Jaapar berkata HKN 2013 akan juga menyediakan sebanyak 180 gerai yang akan mempamerkan produk dan perkhidmatan koperasi seperti kraftangan, industri berasaskan makanan, produk kesihatan, input pertanian, produk pelancongan dan produk jahitan/sulaman.
  
Turut diadakan Forum Perdana yang akan menampilkan panel tiga tokoh agama termasuk Ustaz Kazim Elias.
  
HKN 2013 yang bertemakan 'Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat' akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Sabtu ini. - Bernama