Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim berpendapat PAS akan lebih maju jika parti itu dipimpin oleh naib presidennya, Datuk Husam Musa.

Mengutarakan pandangannya menerusi akaun Twitternya semalam, Zaid yang juga seorang peguam juga berkata kedudukan Husam dalam PAS akan turut mempengaruhi hala tuju Pakatan Rakyat.

NONE"Saya fikir masa depan Pakatan bergantung kepada di mana Husam Musa ditempatkan.

"Maksud saya, PAS mesti dipimpin oleh Husam baru ada progress (kemajuan). Tanpa progress dalam PAS, Pakatan juga akan hadapi jalan buntu," kata Zaid tengah hari tadi.

Seruan itu dibuat menjelang muktamar pemilihan PAS tahun ini yang akan berlangsung di Selangor pada 22 hingga 24 November depan. 

Ia bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan yang baru bagi semua peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya.

Pada pemilihan 2011, Husam yang juga bekas exco Kelantan mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden PAS apabila menang dan mengutip undi kedua tertinggi dengan mendapat 660 undi dalam pemilihan itu.

NONEDua kerusi lagi diisi oleh Salahudin Ayub yang mengutip undi tertinggi 753 undi dan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang meraih 616 undi.

Sebelum ini media melaporkan'tsunami Erdogan'melanda PAS susulan sekurang-kurangnya 10 daripada 18 yang dipilih juga daripada kelompok itu.

Manakala, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyifatkan barisan kepimpinan PAS yang baru ketika itu sebagai 'kabinet pilihan raya'.

Setakat ini masih belum jelas jawatan yang bakal ditandingi Husam dalam pemilihan itu.

Kegagalan beliau merampas kerusi parlimen Putrajaya dan hanya mempertahankan kerusi DUN Salor dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu dilihat mungkin mempengaruhi peluangnya jika dicalonkan ke jawatan penting parti.