REALITI SEBENAR BANK-BANK ISLAM DI MALAYSIA - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

REALITI SEBENAR BANK-BANK ISLAM DI MALAYSIA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm

Hasrat saya tersekat – Jamelah

JAMELAH JAMALUDDINKetua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd.


KUALA LUMPUR 11 April – Tindakan bank-bank konvensional mengekang operasi bank cawangan Islam yang menjadi anak syarikat mereka, dilihat membantutkan entiti itu daripada berkembang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd. Jamelah Jamaluddin, pengalamannya menunjukkan terdapat kecenderungan yang sedemikian di kalangan bank- bank konvensional di negara ini.
Jamelah, bekas Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd. berkata, masalah itu menyebabkan beliau memilih untuk meninggalkan kumpulan perbankan berkenaan.
Sambil menegaskan beliau tidak mempunyai masalah lain dengan pihak pengurusan atasan, Jamelah berkata: ‘‘Bank Islam itu cuma anak syarikat (bank konvensional), cuba jika sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia (bank Islam) akan berkembang.
‘‘Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?, soal beliau.
Jamelah berkata, masalah berkenaan perlu dilihat secara serius tetapi malang terdapat pihak yang cuba menafikannya.
‘‘Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.
‘‘Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa lagi mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi,’’ kata Jamelah. Berikut adalah transkrip penuh temu bual beliau dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM di sini baru-baru ini.
UTUSAN: Kenapa saudari lebih banyak low profile ketika menerajui bank Islam di bawah Kumpulan RHB berbanding Kuwait Finance House (KFH) sebelum ini?
JAMELAH: Secara jujurnya, saya fikir ia adalah disebabkan persekitaran yang wujud di situ. Kumpulan perbankan di Malaysia mempunyai dua bentuk perbankan - Konvensional dan Islam. Jika dibandingkan kedua-duanya dibaratkan jauh panggang dari api.
Bank konvensional itu lebih besar dan lama atau tua sifatnya. Jadi dalam situasi macam itu, anda boleh fikir siapa kawal siapa? Sudah tentu bank konvensional kawal bank Islam.
Jadi, kebanyakan apa yang ingin saya lakukan di dalam perbankan Islam mendapat tentangan daripada pihak yang berada dalam bank konvensional. Itu bukan hanya masalah saya sahaja sebenarnya. Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.
Jadi, saudari mengatakan wujud kekangan (untuk melakukan sesuatu) dalam operasi mana-mana bank Islam yang berada di bawah kumpulan bank konvensional?
Ya, semua bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional di Malaysia. Saya merasakan terdapat tekanan dalam mengurus perbankan Islam. Meskipun kita memiliki orang yang terbaik untuk mengendalikannya tetapi mereka tidak dapat ke depan. Ini kenyataan dan pastikan anda menyiarkannya.
Boleh saudari jelaskan lebih lanjut?
Kumpulan perbankan yang memiliki sistem perbankan konvensional sendiri merupakan penyebab kenapa bank Islam di bawahnya tidak dapat bergerak. Bank Islam itu cuma anak syarikat, cuba jika ia sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia akan berkembang. Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk’. Bagaimana, kita boleh berkembang?
Tidakkah saudari bimbang mengeluarkan kenyataan ini?
Saya sangat serius. Ini merupakan masalah yang setiap orang cuba menafikannya.
Adakah wujud tekanan ketika menerajui bank Islam yang berada dalam kepompong kumpulan konvensional?
Saya pernah berkerja bank Islam (maksud saya 100 peratus bank Islam bukan di bawah bank konvensional) dan dilatih di bawah persekitaran itu. Jadi, semasa saya berada di sana, budaya kerja itu sudah jadi lain. Di sana, kita jadi pengikut bukan pengasas. Itulah perbezaannya.
Jadi saudari gembira untuk kembali KFH?
Oh! semestinya.
Tidak takut bahawa kenyataan ini kontroversi sifatnya?
Saya bersedia untuk berdiri dan berjuang dengan kenyataan yang dikeluarkan dan saya juga berasa gembira diberi peluang untuk mengemudi semula KFH. Saya berpendapat semua CEO bank Islam (di dalam kumpulan bank konvensional) perlu melaksanakan perbankan Islam sepenuhnya. Mereka tidak boleh bergerak sebagai hanya bank cawangan Islam. Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi.
Ini merupakan pengalaman pertama saudari berkhidmat di bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional. Tidakkah ia mengecewakan?
Saya kecewa kerana apa yang berlaku bukan masalah pemimpin dalam bank cawangan itu sendiri, tetapi institusi yang berada di sekelilingnya. Saya berharap orang dapat baca kenyataan ini dan semua CEO bank Islam tahu dan sedar mengenai perkara ini.
Adakah saudari memilih untuk berpindah ke KFH kerana isu pilih kasih atau gender?
Tidak. Di sana tidak wujud masalah itu, begitu juga di KFH. Malah, di KFH, saya merupakan ketua pegawai eksekutif wanita pertama. Saya terkejut masalah (gender) itu tidak wujud. Rasa hormat juga ada. Cuma, ketika bekerja di bank cawangan Islam, pihak konvensional sahaja tidak mahu kami bergerak.
Kini, saudari kembali berada
di KFH, apakah misi yang ingin dicapai?
Saya akan meneruskan perjuangan kami menjadi bank yang mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya. Saya mahu KFH terus berkembang dan memberi pulangan yang baik kepada pemegang saham. KFH juga akan dijadikan lebih inovatif dalam menawarkan produk-produk kewangan berasaskan Islam.
0 Komentar untuk "REALITI SEBENAR BANK-BANK ISLAM DI MALAYSIA"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI