SUNGAI SIPUT - Model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak akan berganjak dengan pendiriannya untuk menerima hukuman enam sebatan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 18 Julai lalu.
Wanita berusia 32 tahun itu berkata, dia menghargai kenyataan beberapa pihak termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta beliau menimbangkan untuk merayu hukuman sebatan itu.
"Bagi saya, usaha untuk 'merayu' sebenarnya sudah berakhir iaitu selepas Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus memukul tukul di mahkamah dan menjatuhkan hukuman terhadap saya.
"Sejak saat itulah saya sudah nekad dan bersedia menerima hukuman (enam sebatan) itu," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Jawang di sini petang semalam.
Sebelum itu, di Kuala Lumpur semalam, Najib berkata, Kartika boleh membuat rayuan terhadap hukuman sebat yang dikenakan ke atasnya dan tidak sepatutnya reda semata-mata untuk dihukum.
Menurut Kartika, ada sesuatu yang tidak kena jika dia memohon kepada mahkamah supaya hukuman sebatan itu tidak dilaksanakan sedangkan sebelum ini dia mempunyai masa dan hak untuk berbuat demikian.
"Sebelum ini sudah lima kali saya naik turun mahkamah dengan tujuan dapat mengelakkan hukuman sebat tetapi tiada siapa yang ambil kisah. Dalam tempoh merayu saya tidak berbuat begitu, inikan pula selepas waran penahanan telah dikeluarkan semalam (kelmarin)," ujarnya.
0 Komentar untuk "Saya tidak akan merayu - Kartika"