Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Mohd Azrone Sarabatin dan Rizar Mohd Noor
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Harimau Muda, A Thamilarasu (kiri) dicabar pemain Felda United di Stadium Bukit Jalil, malam tadi. |
Johor tewaskan Tentera di gelanggang sendiri
HARIMAU Muda dan T-Team terus menjadikan persaingan Liga Perdana milik mereka apabila masing-masing meraih kemenangan berharga, malam tadi.
Penalti K Gurusamy pada minit ke-72 memastikan barisan bawah 19 tahun kebangsaan kekal sebagai pendahulu dengan kelebihan lima mata apabila menundukkan Felda United 1-0 ketika T-Team turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA di Cheras, hasil jaringan Haris Safwan Kamal pada minit ke-78.
Di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, Johor yang menduduki tangga ketiga liga menggunakan kelebihan gelanggang sendiri untuk menundukkan Tentera, 2-0 dan kini menghimpun 39 mata.
Johor yang acap kali diasak memecahkan kebuntuan pada minit ke-54 berpunca dari sepakan sudut Mohd Faizol Hussin yang tepat menuju kepada Khairul Ismail untuk melonjak tinggi menanduk masuk ke gawang pelawat.
Tuan rumah ditimpa malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-68 selepas Rizal Roslan dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, M Selvarajoo kerana mengasari pemain pelawat, Mohd Faizal Hamzah tetapi Sairozi Daud memastikan tiga mata tuan rumah apabila menambah jaringan pada minit terakhir.
Di Stadium Negeri Sarawak, ketiadaan tiga pemain utama, Joseph Kalang Tie, Mohd Fadly Hasyim dan Mohd Dzulazlan Ibrahim yang menjalani penggantungan ternyata menjejaskan rentak Sarawak apabila PKNS mudah menjinakkan Bujang Senang dengan jaringan 2-0 pada perlawanan yang dilangsungkan pada waktu petang.
Di Stadium Likas, Sabah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka menerusi jaringan Leoford Alfonso pada minit ke-50 apabila menyepak kencang hantaran lintang Zainizam Marjan.
Harimau Muda kukuh cengkaman
KUALA LUMPUR - Skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda belum mahu membenarkan mana-mana pasukan menggugat keselesaan mereka sebagai pendahulu Liga Perdana apabila terus mengukuhkan cengkaman.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam meletakkan mereka kini lima mata di depan di samping memiliki satu perlawanan kurang dalam tangan.
Walaupun pencabar terdekat, T. Team turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras, semalam namun pasukan dari Terengganu itu hanya mampu mengekori sahaja sambil mengharap Harimau Muda tercicir mata.
Begitu juga pasukan di tangga ketiga liga, Johor yang juga mencatat kemenangan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0.
Walaupun terpaksa beraksi 10 pemain dalam baki 22 minit permainan, Johor masih mampu menjaringkan gol menerusi Mohd. Khairul Ismail (m-54) dan Sairoji Daud (m-90).
Pasukan tercorot, SDM Kepala Batas pula mengakhiri badi dengan mencipta kemenangan pertama musim ini menewaskan Shahzan Muda 2-1 di Stadium Batu Kawan.
0 Komentar untuk "KEPUTUSAN LIGA PERDANA : SABTU 04 JULAI 2009 - Harimau Muda, T-Team bersaing"