LIGA SUPER : SABTU 04 JULAI 2009 - Liga Super mungkin dirombak - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

LIGA SUPER : SABTU 04 JULAI 2009 - Liga Super mungkin dirombak

Liga Super mungkin dirombak

Oleh JOE MARCOSE

KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang dalam proses merancang dan melaksanakan beberapa perubahan yang bakal menyaksikan Liga Super Malaysia (MSL) menjadi pertandingan domestik yang popular.

Selain proses menyusun dan merombak semula formatnya, FAM telah mengenal pasti beberapa kelemahan yang akan diberi perhatian khusus dalam usaha menjadikan ia pertandingan yang diminati ramai.

''FAM akan mengkaji setiap aspek pentadbiran MSL dan sebarang kelemahan akan diperbaiki. Selain itu, saya juga telah mengarahkan Jawatan kuasa Pertandingan untuk mengkaji kemungkinan merombak format liga yang sedia ada," titah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Baginda, yang merupakan penggerak utama dalam memperkenalkan Liga Semi-Pro dan seterusnya Liga Pro, percaya bahawa sebarang langkah perubahan haruslah bersifat jangka panjang dan seterusnya merangsang pembangunan bola sepak negara.

Sejak kebelakangan ini, FAM dikritik oleh pelbagai pihak yang mendakwa, antara lain, formatnya tidak sesuai serta isu-isu pengelolaan yang sering menimbulkan masalah.

Sebahagian pemerhati juga merasakan Malaysia belum bersedia untuk liga bertaraf profesional.

Pada mesyuarat agung tahunan FAM yang lalu, Sultan Ahmad Shah telah mengarahkan Jawatankuasa Pertandingan, yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mat Jusoh untuk membuat kajian menyeluruh terhadap format dan hal-hal berkaitan dan seterusnya mengemukakan laporan dalam masa tiga bulan.

Sultan Ahmad Shah juga menegaskan, selain kajian semula aspek format, sekarang adalah masa terbaik untuk mengkaji semula aspek-aspek lain, termasuk soal pentadbiran liga itu sendiri di samping pemasaran dan kewangan.

Difahamkan, soal kelab-kelab penyokong juga akan diberi perhatian sewajarnya.

Selain mempopularkan bola sepak, Liga Pro diperkenalkan dengan tujuan membawa peningkatan dalam standard bola sepak negara yang mana kayu pengukurnya adalah prestasi pasukan kebangsaan.

Apabila Liga Semi-Pro dan kemudiannya Pro diperkenalkan, matlamatnya adalah yang berubah menjadi pro bukan sahaja pasukan tetapi juga pelaksanaan program pembangunan. Liga Pro diharap melahirkan jurulatih, pengadil dan pentadbir yang semakin matang dan efektif.

"Kita akan menilai semula keberkesanan seluruh proses tersebut, termasuk bahagian yang selama ini dikendalikan oleh persatuan negeri-negeri. Tujuan kajian semula ini bukanlah untuk mencari scape goat (kambing hitam) tetapi untuk melihat bagaimana kita boleh terus maju," titah Tuanku lagi.

Pelbagai pihak kini menyuarakan hasrat untuk melihat pengurangan dalam jumlah pasukan di liga utama selain memendekkan tempoh pertandingan. Terdapat juga pihak-pihak yang mahu larangan ke atas pemain import di tarik balik.

"Saya menghargai semua cadangan-cadangan berkenaan dan ini adalah bukti bahawa begitu banyak orang meminati bola sepak. Saya beri jaminan, FAM akan menimbang setiap cadangan selain bertindak segera memperbaikki kelemahan yang ada," tambah Tuanku.

Baru-baru ini, Datuk Ghani Minhat yang digelar 'raja bola' juga menyuarakan rasa bimbangnya kerana bola sepak kini sudah semakin hilang nilai 'hiburannya' akibat ketiadaannya ikon atau bintang-bintang seperti masa lalu.

Berdasarkan format sekarang, MSL terdiri daripada Liga Perdana yang mempunyai 13 pasukan serta Liga Super yang disertai 14 pasukan.

Di peringkat antarabangsa, kejayaan terakhir pasukan negara ialah pada Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Liga Semi-Pro diperkenalkan. Liga berkenaan menjadi profesional sepenuhnya pada 1995 dan ia diberi nama MSL pada 2004.
0 Komentar untuk "LIGA SUPER : SABTU 04 JULAI 2009 - Liga Super mungkin dirombak"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI