LIGA PERDANA : SABTU 04 JULAI 2009 - Jurulatih skuad bola sepak Sabah letak jawatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

LIGA PERDANA : SABTU 04 JULAI 2009 - Jurulatih skuad bola sepak Sabah letak jawatan

Jurulatih skuad bola sepak Sabah letak jawatan

KOTA KINABALU - Selepas gagal menyerlah bersama skuad Sabah dalam aksi Liga Perdana musim ini, Wathiq Naji Jasim akhirnya meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan itu berkuat kuasa serta-merta.

Jurulatih dari Iraq itu disahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) pada 1 Julai lalu.

Timbalan Presiden Sabah FA, Datuk Lawrence Gimbang berkata, pihaknya menghormati keputusan Wathiq itu, namun menegaskan satu perbincangan perlu diadakan oleh Majlis Tertinggi persatuan itu bagi menyelesaikan perkara ini.

''Ya, kami sudah terima surat peletakan Wathiq. Itu saja. Kami belum putuskan sama ada menerima peletakan (jawatan) beliau atau tidak. Majlis Tertinggi akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Dengan pengunduran Wathiq, jawatan ketua jurulatih Sabah kini dipangku oleh penolongnya, Mohd. Asyraaf Fong bermula dalam perlawanan menentang Melaka malam ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai punca Wathiq meninggalkan skuad bimbingannya itu sebelum tamat kontrak, Gimbang menjelaskan, Wathiq memberitahu bahawa ia disebabkan masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, tiada sebarang masalah atau perselisihan wujud di antara Sabah FA dan Wathiq dalam tempoh perkhidmatannya sejak bertandang ke negeri bawah bayu awal tahun ini.

Gimbang berkata, Wathiq masih berada di Sabah dan akan ke Kuala Lumpur untuk bersama keluarganya, esok.

''Saya boleh katakan bahawa sekarang adalah tempoh untuk beliau (Wathiq) berehat. Wathiq masih mempunyai kontrak bersama Sabah sehingga hujung tahun ini dan dia masih boleh membantu pasukan.

''Ini kerana, Wathiq adalah jurulatih yang bagus dan berpengalaman. Beliau sebenarnya banyak membantu Sabah, cuma keadaan pasukan Sabah sekarang yang agak tertekan dengan prestasi kurang baik," ujarnya.

Kedudukan Sabah kini ibarat telur dihujung tanduk selepas kalah dalam sembilan perlawanan Liga Perdana musim ini.

Sabah cuma mampu mengutip 14 mata menerusi tiga kemenangan dan lima perlawanan seri termasuk di gelanggang sendiri.
0 Komentar untuk "LIGA PERDANA : SABTU 04 JULAI 2009 - Jurulatih skuad bola sepak Sabah letak jawatan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI