Fikry Ibrahim mahu jadi artis versatil - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Fikry Ibrahim mahu jadi artis versatil



KEHADIRAN muka baru dalam dunia seni tempatan memberi saingan sihat kepada penggiat seni sedia ada. Malah, kemunculan ramai bakat muda juga memberi lebih ‘warna’ dan pilihan kepada peminat.

Itulah situasi yang terpaksa dihadapi pemenang tempat ketiga Lawak Solo musim pertama, Fikry, 23.

Katanya, persaingan bersama muka baru khasnya dalam bidang lawak dan pengacaraan memberikan tekanan buatnya untuk membuktikan kebolehan.

Bagaimanapun, Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim bersyukur kerana dia sudah diberi kepercayaan mengendalikan program mega terbitan Astro, Gema Gegar Vaganza (GGV)

“Alhamdulillah, kepercayaan tu sebagai refleksi bahawa karyawan seni terima dan percaya kebolehan saya. Saya anggp ni sebagai amanah dan perlu cabar diri.

“Jadi kesempatan apabila diberi tugas mengendalikan GGV bersama rakan artis lain saya kira sebagai satu platform untuk pergi lebih jauh, insya-ALLAH,” katanya panjang lebar kepada Media Hiburan.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana perjalanan kerjayanya agak sukses ketika ini tetapi dia perlu berhati-hati kerana tidak mahu kepercayaan itu hilang sekelip mata.



“Misalnya dalam GGV, setiap minggu lepas selesai mengacara, saya akan tanya ‘sifu’ saya seperti Helmy Ashley dan Nabil Ahmad mengenai prestasi pada minggu berkenaan.

“Pada minggu pertama, memang teruk kena kritik dan saya ambil itu sebagai satu sandaran untuk berikan yang lebih baik untuk minggu seterusnya.

“Syukur, sedikit demi sedikit saya cuba kawal perasaan gementar dan Alhamdulillah, ia jadi lebih baik dari minggu ke minggu. Terima kasih buat mereka yang banyak bagi tunjuk ajar dan nasihat,” jelas Fikry merendah diri.

Bimbang tak kekal lama

Tambahnya lagi, dia juga perlu belajar dengan cepat jika mahu bertahan lama dalam industri.

Justeru, setiap minggu, dia tidak jemu mendapatkan pandangan seniornya untuk membaiki kelemahan.



Fikry yang bercita-cita mahu menjadi sebahagian insan seni yang versatile dan tidak menafikan sokongan keluarga penting untuk merealisasikan hasrat itu.

Dia kini berdebar menanti reaksi peminat terhadap percubaan pertamanya dalam lakonan menerusi drama  Hero Seorang Cinderella di samping Fattah Amin dan Fazura.

“Hari pertama di set penggambaran, saya agak down kerana ingatkan watak komedi, tapi rupa-rupanya kena bawa peranan sebagai juruterbang yang serius. Bimbang juga sebab ia lari dari personaliti saya.

Mujurlah krew produksi dan pelakon lain banyak bagi ruang dan tunjuk ajar. Kalau tidak memang 'kelaut',” seloroh Fikry yang mengakui turut menerima satu lagi tawaran lakonan tetapi masih dalam peringkat perbincangan.

Sementara itu, Fikry yang sebelum ini pernah mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Pengiklanan di Fakulti Komunikasi Massa dan Pengajian Media juga bakal hadir dengan sebuah program travelog bersama Nadzmi Adhwa.

“Musim baru program Jalan-Jalan Makan Angin ini akan membawa kami ke beberapa lokasi menarik di Malaysia dan peluang dapat menjayakan sebuah rancangan berbentuk sedemikian memberi satu pengalaman baru,” sambungnya lagi.

Sebagai orang baru juga, Fikry sudah menanam impian untuk ‘master’ dalam setiap cabang seni yang diceburi. Enggan menoleh ke belakang, pemuda ini tekad meneruskan langkah ke depan.

“Saya sedar, tanpa adanya ilmu, apa yang kita lakukan tidak akan memberi makna apa-apa. Jadi saya tidak kisah untuk terus belajar dan 'gali ilmu' demi mencapai impian menjadi selebriti serba boleh seperti idola saya iaitu Datuk AC Mizal, Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad,” akhiri Fikry serius.

0 Komentar untuk "Fikry Ibrahim mahu jadi artis versatil"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI