Syok sendiri 2 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Syok sendiri 2

Minggu ini, mari kita melihat perlawanan head-to-head parti politik di Semenanjung Malaysia pada Pilihan Raya umum ke-13 dan juga mengambil keputusan Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

Terdapat 165 kerusi di Semenanjung Malaysia. BN memegang 86 kerusi dan PKR-PAS-DAP-PSM mengambil 79 kerusi yang lain.

Sebanyak 73 daripada 86 kerusi BN dimiliki Umno. Ini bermakna ada 13 kerusi Parlimen diwakili wakil rakyat bukan Islam daripada parti komponen BN iaitu MCA 7, MIC 4 dan Gerakan 2.

Enam daripada 13 kerusi wakil rakyat bukan Islam ini berada di Johor. Selainnya dari Melaka (1), Selangor (1), Pahang (2) dan Perak (3).
Daripada 13 kerusi BN ini, DAP tewas 6 kerusi. 4 di tangan MCA. 1 di tangan MIC dan Gerakan. PKR pula tewas 5 kerusi – 2 di tangan MCA dan 3 di tangan MIC. Manakala PAS tewas 1 kerusi di tangan MCA dan Gerakan.


Sebanyak 13 kerusi akan menjadi perebutan hangat antara PKR dan DAP pada PRU14 kerana kerusi ini adalah kerusi campur, yang boleh dimenangi dua-dua pihak jika perang 3 penjuru tidak berlaku.

Terbaca sehingga peringkat ini, sudah tentu ada yang membayangkan sekiranya 13 kerusi BN ini jatuh ke tangan pembangkang, kedudukan kerusi Parlimen di Semenanjung bakal menjadi BN 73 – 92 Pembangkang, dan membuat perkiraan peluang menakluki Putrajaya sudah semakin hampir.

Namun, ramai yang terlupa. Umno bertanding di 107 kerusi di Semenanjung pada PRU13, dan berjaya menakluki 68% atau 73 kerusi yang ditandinginya. Semua kerusinya datang daripada menewaskan PAS (43) dan PKR (30).

Umno tewas sebanyak 34 kerusi, di tangan PAS sebanyak 20 kerusi (kini tinggal 14, 6 kini di tangan Amanah), PKR sebanyak 13 kerusi dan DAP sebanyak 1 kerusi.


Sembilan daripada 34 kerusi ini berada di Kelantan, 6 di Selangor, 4 di Terengganu, 2 di Perak, 3 di Pahang dan Kedah, 2 di Wilayah+Putrajaya, Penang dan Johor dan 1 di Melaka.

Ini bermakna jika Umno dapat meningkatkan kerusi terhadap PKR dan PAS di kawasan majoriti totok Melayu di PRU14, BN diyakini akan terus berkuasa.

Bukan itu saja, melihat pada hala tuju Bajet 2016, Umno sudah memberikan bayangan kerusi yang ditandingi MCA (38), MIC (11) dan Gerakan (8) di kawasan pengundi Melayu melebihi 50% di Semenanjung dijangka akan dikurangkan pada PRU14 untuk memberi laluan kepada Umno untuk meningkatkan peluang kemenangan kepada BN.

Jadi, apa strategi pembangkang sebenarnya?

Kerusi campuran di Semenanjung sudah dibahagi antara PKR dan DAP. Kerana peluang menang yang tinggi, dipercayai DAP dan PKR tidak akan melepaskan mana-mana kerusi yang menjadi milik mereka.

Di PRU13, DAP sudah mencatat keputusan yang teramat cemerlang – memenangi 84%, iaitu 31 daripada 37 kerusi yang ditandinginya, manakala PKR hanya mencapai kemenangan 43%, 26 daripada 61 kerusi yang ditandingi mereka.



Sebanyak 30 daripada 43 kerusi PKR tewas di tangan Umno – semuanya kerusi majoriti Melayu. Ini bermakna PKR mencatat peratusan kemenangan sebanyak 74%, iaitu 13/18 kerusi di kerusi campuran, satu angka yang sangat baik dan tidak jauh daripada pencapaian DAP.

DAP mungkin boleh mencatat kemenangan 100% di semua kerusi campuran yang ditandinginya di PRU14 – tapi jumlah kerusi itulah hanya 37. Dua calon PAS yang bertanding di kerusi campur Ayer Hitam dan Simpang Renggam dan tewas di tangan MCA dan Gerakan kini sudah berada di Amanah. Apakah DAP akan mengambil kerusi tersebut daripada rakannya? Jika ya, mungkin jumlah kerusi DAP di Semenanjung akan menjadi 39, kerana semestinya PKR tidak akan melepaskan kerusi yang boleh menang kepada DAP.

Oleh itu, pertempuran sebenar PRU14 adalah di 107 kerusi yang ditandingi Umno. 33 kerusi itu berada di tangan pembangkang – 20 di tangan PAS dan 13 di tangan PKR. 33 kerusi ini perlu dijaga dengan baik sekiranya ingin melihat BN tumbang.

Oleh itu, fahamlah mengapa ada sebahagian PKR mahu terus bekerjasama dengan PAS – kerana kerja sebenar PRU14 ialah menjaga 33 kerusi majoriti Melayu di tangan dan merampas sebanyak mungkin 73 kerusi yang dipegang Umno sekarang.

Melihat gerakan catur politik pembangkang hari ini, nampaknya hasrat ke Putrajaya sudah tidak kelihatan. Yang ada hanyalah hasrat menguasai sepenuhnya pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang. Ini sekadar analisis syok sendiri penulis versi kedua. – 2 November, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/timmy-say/article/syok-sendiri-2#sthash.P6wzYfzi.dpuf
0 Komentar untuk "Syok sendiri 2"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI