Siasatan Dana Politik RM2.6 Bilion Ambil Masa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Siasatan Dana Politik RM2.6 Bilion Ambil Masa

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dana politik RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa kerana ia melibatkan transaksi dan saksi di luar negara.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan mengenai kes itu kerana siasatan baru berjalan beberapa bulan sedangkan ada kes yang mengambil masa sehingga sembilan tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh SPRM bagi menentukan jika terdapat kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Selain itu, Najib akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan perdana menteri pun telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut, katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa berkaitan Jabatan Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Razali berkata walaupun siastan masih belum selesai, SPRM telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah derma dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata kebiasaannya SPRM tidak membuat sebarang pengumuman mengenai hasil siasatan kes yang belum selesai.

"Dalam kes ini (RM2.6 bilion) jangan kata boleh buat (pengumuman) pula, siasatan tidak boleh dikongsi kecuali dengan kebenaran AG (Peguam Negara) dan Pesuruhjaya SPRM. Pengumuman terpaksa dibuat kerana derma yang dimaksudkan bukan daripada 1MDB," katanya.

Beliau berkata pengumuman awal yang dibuat itu juga adalah berdasarkan dokumen yang diperoleh SPRM daripada pihak yang terlibat.

Katanya, selain itu SPRM juga berjaya mendapatkan pengakuan daripada pihak yang menyalurkan sumbangan dana politik berkenaan.

Dalam pada itu, Razali berkata pengurangan peruntukan untuk SPRM dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam Bajet 2016 tidak akan memberi kesan kepada prestasi kedua-dua suruhanjaya berkenaan.

"Kebanyakan kementerian alami pengurangan (peruntukan) tapi walaupun ada pengurangan kita tidak akan berkompromi sehingga menjejaskan operasi mereka," katanya.

0 Komentar untuk "Siasatan Dana Politik RM2.6 Bilion Ambil Masa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI