Dewan Rakyat Kecoh Isu Penggunaan Bahasa Inggeris - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dewan Rakyat Kecoh Isu Penggunaan Bahasa Inggeris

KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa bertukar kecoh dengan pertikaman lidah beberapa anggota Parlimen berhubung penggunaan Bahasa Inggeris di dewan itu.

Keadaan bermula apabila Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) yang mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri mengemukakan soal hak anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam Bahasa Inggeris.

Beliau yang memulakan ucapan perbahasannya dalam Bahasa Malaysia, kemudian beralih ke Bahasa Inggeris menyatakan hak itu terkandung dalam Perlembagaan Malaysia.

"I wish to set the record straight that in particular that in respect of the right for member of parliament from Sabah and Sarawak, we are entitled to use the English languge in this House," katanya.

(Saya ingin menjelaskan khususnya berhubung anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak, kami diberi hak menggunakan bahasa Inggeris di Dewan ini).

Bagaimanapun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mencelah dan menyatakan kepada Chong bahawa ucapan dalam Bahasa Inggeris hanya dibenarkan dengan izin speaker.

Namun, penjelasan Kiandee itu tidak diendahkan Chong dan meneruskan ucapannya dalam Bahasa Inggeris dan membacakan perenggan dari Artikel 161 Perlembagaan Malaysia mengenai hak Sabah dan Sarawak.

Tindakan itu bagaimanapun tidak disenangi Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang bangkit dan mempersoalkan tindakan Chong isu itu dan berkata ia tidak berkaitan isu rakyat.

Pertikaman lidah antara kedua-dua mereka kemudian berlangsung dengan beberapa wakil rakyat termasuk Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bangkit mencelah dan menegaskan tidak semua rakyat di Sabah dan Sarawak faham bahasa Inggeris.

Kiandee kemudian menenangkan keadaan dan menjelaskan sekali lagi bahawa ucapan dalam Bahasa Inggeris perlu mendapat izin speaker.

Chong bagaimanapun meneruskan ucapannya dalam Bahasa Inggeris berkenaan isu tersebut sebelum Tiong mencelah dan pertikaman lidah meletus semula.

Chong menamatkan ucapannya selepas menghabiskan tempoh 10 minit ditetapkan Speaker.

0 Komentar untuk "Dewan Rakyat Kecoh Isu Penggunaan Bahasa Inggeris"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI