Pakatan Harapan: Tak semestinya RTM hos debat 1MDB - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pakatan Harapan: Tak semestinya RTM hos debat 1MDB

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan hari ini menegaskan bahawa debat yang disebut-sebut antara Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dengan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda tidak semestinya dihoskan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Sekretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, banyak lagi stesen TV lain yang boleh menjadi medan debat tersebut.

"Itu (menteri batal debat) cerita lain. Kita hormati keputusan yang dibuat oleh  Speaker (Dewan Rakyat).

"Kita fikir debat itu bagus untuk rakyat. Kita calonkan wakil alternatif. Debat itu tidak semestinya RTM yang hoskan. Banyak lagi stesen (TV) lain," katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak ketika ditemui sebelum ini mengesahkan siaran langsung perdebatan 1MDB yang dijadualkan Jumaat ini dibatalkan.

Ia berikutan selepas dimaklumkan bahawa Tony Pua tidak lagi menyertai debat itu.

Pada sidang media sama, Saifuddin memberitahu bahawa nama calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat sebentar tadi akan dikemukakan kepada Majlis Presiden, malam ini sebelum diumumkan esok.

"Kita hanya ada satu nama. Kita umum di lobi Parlimen jam 11.30 pagi.

"Selain itu, kita juga akan umum tim untuk pastikan semuanya berjalan lancar. Semua konsep juga akan dimaklumkan esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya soal alternatif debat selepas menteri membatalkan siaran langsung melalui RTM.

Tony yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mencabar Arul Kanda untuk berdebat secara terbuka yang kemudiannya dipersetujui.

Salleh sebelum ini juga menyatakan kesediaan RTM untuk menyiarkan debat berkenaan secara langsung pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan Tony Pua perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC atau tidak terlibat sama sekali dalam siasatan 1MDB sekiranya berhasrat meneruskan debat terbuka itu.

0 Komentar untuk "Pakatan Harapan: Tak semestinya RTM hos debat 1MDB"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI