MB Selangor didesak jawab 44 persoalan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

MB Selangor didesak jawab 44 persoalan

SHAH ALAM - BN Selangor membangkitkan 44 persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri membabitkan Bajet Selangor 2016 yang konon mengangkat tema Membangun Smart Selangor yang peduli.

Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi mempertikai bajet surplus yang dibentangkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kerana didakwa tidak telus.

Beliau mempersoalkan Majlis Perundingan Smart Selangor dalam menyediakan blueprint dengan peruntukan sejumlah RM10 juta bagi tempoh tiga tahun.

“Adakah perunding swasta terlibat? Mengapakah kepakaran dalaman tidak diguna pakai? Baru blueprint dah belanja RM 10 juta.

“Untuk pelaksanaan berapa kos lagi perlu dibazirkan? Soalnya ketika sidang media di Lobi Dun, semalam.

Pertanyaan lain yang turut dibangkitkan Budiman, WiFi Smart Selangor bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini namanya WiFi Selangorku.

“Kerajaan negeri memberi keyakinan bahawa WiFi Smart Selangor akan mengurangkan jurang digital dan memudahkan akses perniagaan atas talian tetapi mengapa tidak diberi keutamaan kepada aspek pelatihan dan keperluan kemahiran IT untuk mengeksploitasi kemudahan internet.

“Dah ada WiFi Selangorku kenapa tukar nama dan buat tender tertutup,  jelas tidak telus dalam urusan ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga dilihat lemah dalam menyediakan pangkalan data untuk mengumpul data penerima Program Bantuan Makanan Asas dengan peruntukan RM3 juta kepada 5,000 keluarga miskin.

“Isu duplikasi akan wujud di lapangan antara Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Sepatutnya diwujudkan satu sistem data yang menyatukan kesemua agensi bantuan bagi memudahkan agihan tanpa pertindihan,” katanya.

Isu lain yang dipertikai BN Selangor ialah Hasil Bukan Cukai (HBC) sebanyak RM1.4 bilion atau 62 peratus.

“Adakah Hasil Bukan Cukai ini akan melibatkan penjualan aset-aset kerajaan negeri?

“Secara lazimnya hasil kerajaan negeri bersumberkan cukai. Kerana anggaran hasil 2016 adalah sebanyak RM2.25 bilion,” katanya.

Antara pertikaian lain ialah inisiatif kerajaan negeri mengurangkan Air Tidak Berhasil (NRW) , status Langat 2 dan Horas, pemuliharaan  Sungai Klang dengan peruntukan RM9 juta tidak bertindan dengan projek River of Life kerajaan persekutuan.

0 Komentar untuk "MB Selangor didesak jawab 44 persoalan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI