Husam Dakwa Hadi Mahu Bentuk Kerajaan Perpaduan Bersama Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Husam Dakwa Hadi Mahu Bentuk Kerajaan Perpaduan Bersama Umno

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui mahu bekerjasama dengan Umno semasa krisis menteri besar Selangor tahun lalu, dakwa Datuk Husam Musa.

Bekas Naib Presiden PAS itu berkata Hadi mengakui rancangannya itu apabila bersemuka dengan beberapa pemimpin parti.

"Mari kita jelaskan tentang perkara ini. Presiden kita mengakui menawarkan dua atau tiga individu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyertai PAS ... dan apabila mereka mempunyai jumlah mencukupi, mereka akan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor.

"Presiden sendiri mengakui perkara ini apabila bersemuka dengan orang ramai. Apa maksudnya ini? Ini bermaksud beliau sudah mempunyai niat (untuk bekerjasama dengan Umno)," kata Husam dalam satu ceramah di Kota Baru pada malam Khamis.

Beliau berkata ini adalah alasan mengapa parti Islam itu kini berpecah.

"Ia berakhir seperti ini, Mat Sabu (bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu) berakhir seperti ini, semua kerana konspirasi ini," katanya.

Mohamad bersama dengan beberapa bekas pemimpin PAS meninggalkan parti Islam itu selepas tewas pada pemilihan parti pada Jun lalu.

Mereka akhirnya menubuhkan Parti Amanah Negara.

"Saya katakan ini secara terbuka, jika presiden merasakan ini tidak benar, biarlah beliau nafikan. Jika dia tanya saya mengapa saya beritahu orang ramai mengenainya, saya akan bertanya kembali kepadanya, 'Mengapa anda lakukannya?'," kata Husam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata rancangan Hadi untuk membentuk kerajaan Perpaduan bersama Umno tidak kesampaian selepas wakil rakyat PKR memaklumkan parti mereka mengenai perkara tersebut.

Husam berkata bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat turut berkata adalah haram untuk bekerjasama dengan Umno.

"Namun jika mereka tetap mahu bekerjasama dengan Umno, katakan sahaja. Panggil muktamar (perhimpunan agung) dan bawa perkara itu ke jawatankuasa pusat," katanya.

Beliau berkata walaupun bantahan daripada akar umbi parti, Hadi masih belum berputus asa mengenai idea untuk bekerjasama dengan Umno.

Kali ini, Husam mendakwa Hadi mahu bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan.

"Kerajaan sudah mempunyai 39 menteri Kabinet. Mereka tidak boleh lantik lebih ramai kerana portfolio akan bertindih.

"Sebab itu ada yang dilantik sebagai penasihat, yang akan berada sama tahap seperti menteri," katanya.

Hadi dilaporkan sebagai berkata PAS tidak mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mahu menasihati kerajaan mengenai dasar-dasarnya.

Husam turut mengkritik PAS kerana bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, Perkasa, dengan berkata tindakan itu menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli parti.

"Ada yang bertanya: Adakah PAS sebuah parti Islam atau parti Melayu?," katanya.

0 Komentar untuk "Husam Dakwa Hadi Mahu Bentuk Kerajaan Perpaduan Bersama Umno"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI