DAP mahu Wan Azizah kemuka undi tidak percaya, bukan orang lain - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

DAP mahu Wan Azizah kemuka undi tidak percaya, bukan orang lain

DAP hari ini tegas dengan pendiriannya mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili semua ahli Parlimen parti pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri pada sidang Parlimen kali ini.

Susulan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari PKR Hee Loy Sian mengemukakan notis mencadangkan usul itu sebelum ini, Lim Guan Eng berkata, ketua pembangkang harus diberi tanggungjawab tersebut kerana usul itu satu perkara serius.

Setiausaha agung DAP itu berkata, kegagalan Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR berbuat demikian akan membuatkan pembangkang dianggap tidak bersungguh dalam usaha tersebut.

 "Apabila anda melihat usul sebegitu penting, amat wajar sekiranya ketua pembangkang yang membawa perkara tersebut.
"Sekiranya anda hanya ingin melihat usul tersebut dikemukakan, maka saya juga boleh menghantar usul tersebut.

"Tetapi saya fikir, apabila ia berkaitan dengan keputusan menentukan masa depan negara, ia harus dibuat ketua pembangkang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR Chua Tian Chang mempertahankan Hee yang mengemukakan usul tersebut.

Ahli Parlimen Batu berkata, tidak ada sebab untuk Hee menarik kembali usul undi tidak percaya terhadap Najib.

"Tidak ada perkara itu (tarik kembali usul tidak percaya) kecuali jika kita tidak mahu perdana menteri letak jawatan.

"Bagi saya setiap ahli Parlimen mempunyai hak untuk membawa apa sahaja usul," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketua menteri Pulau Pinang itu turut memberi amaran tidak akan terlibat dengan usul undi tidak percaya itu jika ia tidak dianggap serius rakan pembangkang.

"Ini bukan permainan, ia bukan seperti main guli, tetapi jika anda mahu juga menjejaskan usul seperti bermain guli, maka teruskan. DAP tidak akan terlibat.

"Sekiranya ia tidak dibawa ketua pembangkang, ia akan memberikan persepsi anda tidak yakin usul tersebut akan diluluskan.

"Anda perlu menghormati ketua pembangkang. Beliau mewakili semua pembangkang. Jadi, jangan bermain dengan perkara ini," katanya.

Notis yang dikemukakan Hee merupakan perkara ke-25 dalam senarai usul untuk dicadangkan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan pada hari pertama mesyuarat ke-3 bagi penggal ke-3 Parlimen ke-13 hari ini.

Bagaimanapun, ahli PKR dipercayai tidak sependapat dalam perkara itu di mana satu kumpulan dalam parti itu mahu Najib disingkirkan serta-merta, manakala satu kumpulan lagi mahu beliau menghabiskan tempoh perkhidmatannya. – 19 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/wan-azizah-harus-bawa-usul-undi-tidak-percaya-bukan-ahli-lain-kata-dap#sthash.le15bAHG.dpuf
0 Komentar untuk "DAP mahu Wan Azizah kemuka undi tidak percaya, bukan orang lain"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI