Kerana tapak pasar malam PJ, pemimpin DAP, PKR bercakaran - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kerana tapak pasar malam PJ, pemimpin DAP, PKR bercakaran

Walaupun bersama-sama mentadbir Selangor, DAP dan PKR bercakaran sesama sendiri berhubung tapak pasar malam di negeri terkaya itu menyaksikan 2 ahli Parlimen daripada kedua-dua parti berbalas kenyataan secara terbuka.

Semuanya bermula apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua melawat ke tapak bazar Deepavali baru di Sungai Way pada 15 Oktober lalu dan tidak disambut baik beberapa pemimpin setempat PKR.

Pua dalam kenyataannya malam tadi mendakwa Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah daripada PKR silap fakta apabila menggesanya menyerahkan hal ehwal penempatan semula tapak bazar itu kepada datuk bandar dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).


 Pua yang juga setiausaha publisiti DAP berkata MBPJ pada 27 Mac, 2015 meluluskan sebulat suara pemindahan tapak bazar dari Jalan SS9A/13 ke Jalan SS9A/12 dan dakwaan Sivarasa berhubung 2 tapak itu akan beroperasi sekali gus sementara mengkaji kesesuaian tapak baru adalah tidak benar.
"Selepas melakukan semakan fakta, saya kini boleh betulkan Sivarasa yang ceritanya sebelum ini adalah cebisan imaginasi semata-mata, atau imaginasi sesiapa saja yang menjual cerita itu kepadanya.

"Ahli majlis sebulat suara meluluskan tapak baru itu pada 27 Mac, 2015 pada mesyuarat penuh ahli majlis.

"Tiada sebarang mesyuarat ahli majlis atau pegawai selepas itu bagi menukar keputusan ini.

"Datuk bandar sendiri berkata beliau percaya tapak bazar baharu akan menerima respons lebih baik," kata Pua dalam kenyataannya malam tadi.

DAP dan PKR baru-baru ini diumumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama dalam Pakatan Harapan di peringkat nasional tanpa melibatkan PAS yang digantikan dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pua berkata, Sivarasa kini menconteng arang ke mukanya sendiri apabila mengambil jalan mudah dengan tidak menyemak sendiri perkara tersebut dengan mana-mana ahli majlis.

"Sivarasa kini salah fakta sepenuhnya dan menconteng arang ke mukanya sendiri kerana tidak menggunakan budi bicaranya bagi merujuk ahli majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) setempat mahupun ahli Parlimen kawasan itu," katanya.

Pua turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang mendakwa dikasari beberapa pemimpin tempatan PKR yang berlagak seperti samseng apabila cuba mengganggu lawatannya ke tapak bazar itu pada Khamis lalu dan cuba mengawal lesen tapak bazar itu.

"Tidak kisahlah jika mereka ini timbalan ketua cabang PKR, setiausaha cabang PKR atau ahli majlis PKR daripada pihak berkuasa tempatan lain sekali pun. Mereka tidak patut mendapat layanan istimewa kerana status parti mereka.

"Saya beri jaminan kepada ahli Parlimen Subang mana-mana pemimpin akar umbi DAP yang memohon layanan istimewa akan diambil tindakan keras.

"Saya tidak akan mempertahankan tindakan mereka walau apa pun alasannya. Lupakan saja hasrat menggantikan Barisan Nasional (BN) jika kita turut mengamalkan kronisme dan politik samseng seperti mereka," katanya.

Sivarasa sebelum ini dalam kenyataannya mencabar Pua membuat laporan kepada MBPJ dan polis bagi mempertahankan dakwaannya berkenaan lesen tapak bazar itu serta gangguan samseng.

Pua bagaimana pun tidak berbuat demikian dan membalasnya dengan kenyataan ini. – 19 Oktober, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kerana-tapak-pasar-malam-pj-pemimpin-dap-pkr-bercakaran#sthash.ZPox1aw0.dpuf
0 Komentar untuk "Kerana tapak pasar malam PJ, pemimpin DAP, PKR bercakaran "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI