Luah-Pandang Terbaik Ustaz Muda PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Luah-Pandang Terbaik Ustaz Muda PAS

PERKUKUHKAN PR, HANCURKAN BN

Firman Allah yng bermaksud : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah Al-Hujurat ayat 13

MUKADDIMAH

Yang berbahagia Tn Pengerusi Majlis, Y.Bhg. Tn. Hj. Salahuddin bin Ayub, Naib Presiden PAS merangkap perasmi konvensyen pada pagi ini, Yang dihormati Y.B Tn Hj Aminolhuda Bin Hassan, Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya, Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Johor, Ketua-Ketua Dewan Ulama, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Yang Dipertua PAS kawasan-kawasan, rakan-rakan wakil dari PKR dan DAP, wakil-wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan dan pemerhati sekelian.

Ibn Asyur dalam tafsirnya menjelaskan bahawa pemilihan lafaz “Wahai umat manusia” dan bukan “Wahai orang-orang yang beriman” dalam ayat di atas, adalah bertujuan bagi menjelaskan bahawa asal-usul mereka adalah satu iaitu daripada Adam dan Hawa. Lafaz ini sangat tepat dengan wilayah risalah Rasulullah S.A.W yang tidak terhad kepada bangsa arab sahaja, bahkan merentasi bangsa, warna kulit dan sempadan geografi. Ia sangat berbeza dengan risalah nabi-nabi yang terdahulu hanya terhad kepada bangsanya sahaja dan wilayah geografi yang tidak meliputi timur dan barat.

Inilah amanah besar yang terpaksa kita lakukan bagi memikul tanggugjawab selaku pewaris kepada perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Bagi memikul amanah dakwah yang besar ini PAS telah melalui pelbagai perubahan mad’unya di sepanjang sejarah dakwah dan politik di Malaysia dan di Negeri Johor.

HUDUD DIPERTAHAN PR DIPERKUKUH

Berdakwah melalui jalur politik mahupun jalur yang lain tidak dapat dinafikan terpaksa melalui jalan yang panjang. Ini merupakan warisan peninggalan para anbiyak terdahulu. Walaupun umur kita tidak sepanjang umur para anbiyak yang terdahulu, namun umur dakwah kita tetap panjang. Perjalanan dakwah yang ditinggalkan oleh Baginda S.A.W disambung oleh kita pada hari ini walaupun telah mencecah usia lebih daripada 1400 tahun.

Memperjuangkan hukum Allah S.W.T merupakan agenda penting PAS sejak ia ditubuhkan. Kita mengambil masa yang begitu lama berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional bagi mencapai cita-cita mulia ini. Usia perjuangan PAS memperjuangkan syariat Allah telah mencecah 64 tahun.

Kini cabaran tersebut juga terpaksa ditelan oleh PAS apabila ia juga mendapat halangan daripada DAP dan juga PKR. Meskipun terdapatnya romous yang mengatakan bahawa halangan daripada PR adalah perbezaan dari sudut mekanisma perlaksanaan dan bukan penolakan secara totok, namun ia tidak menafikan wujudnya halangan itu.

Berdasarkan fakta sejarah gabungan bersama parti-parti politik, Pemuda PAS Johor menegaskan bahawa PAS wajib meneruskan agenda perlaksanaan hukum Allah dan bertasamuh dan bermujadalah dengan yang paling baik dan bijaksana bersama PR agar kerjasama ini dapat dimantapkan lagi dalam menghadapai PRU ke 14.

Ini adalah berdasarkan hujah-hujah berikut:

1) Dakwah kita tidak pernah berhenti terhadap BN meskipun Barisan Nasional masih belum menerima perlaksanaan syariat ini. Jika dengan musuh tradisi, kita masih menyampaikan dakwah perlaksanaan syariat ini kepada mereka adakah wajar kita menghentikan dakwah sesama rakan tahaluf? Kalau dengan musuh tradisi kita sanggup tunggu sehingga 64 tahun tanpa jemu, mengapa dengan rakan tahaluf yang baru berumur beberapa tahun kita sudah menunjukkan tanda-tanda berputus asa?

2) BN, DAP dan PKR mereka adakah merupakan mad’u tegar kita. Ertinya jalur dakwah yang kita bawa sudah mula mendapat perhatian dan maklum balas bukan sekadar orang melayu bahkan merentasi batas bangsa, warna kulit dan geografi! Memusuhi mereka dengan terlalu awal, akan menghalang dakwah islam kepada yang sudah terbuka luas sebelum ini. Warisan risalah dakwah Nabi Muhammad S.A.W yang bersifat Universal dan Al-Alamiah tidak dapat kita laksanakan.

3) Allah memiliki peraturan alam yang telah ditetapkan. Antara peraturan itu ialah perjalanan alam berlaku secara beransur-ansur dan memiliki proses. Dalam bahasa arab disebut سنة التدرج. Seorang manusia dilahirkan bukan terus menjadi aqil baligh, bahkan terpaksa melalui proses perubahan daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Jika berdakwah dengan orang melayu beragama Islam pun mengambil masa 64 tahun, adakah mungkin dengan bukan islam boleh dilakukan dengan cara yang singkat. Kaedah fekah ada menyebut:

من استعجل شيئا قبل أوانه عوقب بحرمانه‏

Ertinya: Barangsiapa mendahulu sesuatu perkara sebelum tiba masanya, maka akibatnya ia terhalang untuk mendapatkan perkara tersebut.

4) Perkukuh Pakatan Rakyat bukan bermakna kita mahu mengambil jalan pintas untuk mencapai kemenangan, hakikatnya walaupun kita berjaya mencapai kemenangan sekalipun ke Putrajaya ia tetap perjalanan yang masih jauh dan berliku-liku.

Pemuda Pas Johor mengajak kepada hadirin sekalian merenung kepada Firman Allah S.W.T:

Maksud: (Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu Wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul “Ulil-Azmi” (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah Engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum-kaum yang fasik – derhaka.

Surah al-Ahqaf ayat 35

Sayyid Qutb dalam menghuraikan ayat di atas bahawa ia adalah pesanan kepada baginda S.A.W yang menerima tekanan yang tidak henti di kalangan kaumnya. Bahkan tekanan yang lebih dahsyat daripada kaum keluarganya sendiri berbanding orang lain. Kadang-kadang baginda S.A.W dihina dan disindir oleh orang-orang yang bodoh dengan lemparan batu hingga kedua tapak kaki baginda S.A.W yang mulia mengalirkan darah. Maka Allah memberikan suntikan semangat agar baginda S.A.W bersabar. Seluruh pejuang agama Allah wajar mewarisi sifat sabar ini jika kita mahu menjadi pewaris perjuangan para anbiyak.

SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Hukum Allah terbahagi kepada dua iaitu: Syariatullah dan Sunnatullah. Syariatullah adalah hukum Allah berkenaan perkara-perkara yang halal, haram, wajib, sunat, makruh dan lain-lain. Di mana Sunnatullah atau Law of Nature pula ialah hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah. Seperti kejadian siang dan malam berjalan mengikut aturan yang telah ditetapkan, kewujudan graviti berfungsi mengikut ukuran yang ditetapkan, pergerakan bumi mengelilingi matahari mengikut tempoh masa yang ditetapkan, jika mahu memaniskan air mesti dengan gula, hendak memasinkan mesti dengan garam dan sebagainya. Memahami dan melaksanakan syariatullah dan sunnatullah dengan seragam adalah penting bagi umat islam yang menginginkan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Dr Mohd Said Ramadahn al-Boothy ada menjelaskan mengenai perbandingan kisah hijrah ke Madinah antara yang di lakukan oleh Saidina Umar dengan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.  Kisah ini  memberikan kita kefahaman yang lebih lagi akan kepentingan keseragaman sunnatullah dan syariatullah.

Saidina Umar R.A berhijrah secara terang-terangan malah mencabar pihak Quraisy dan Musyrikin tanpa rasa takut dan bimbang, sedangkan Rasulullah S.A.W pula keluar secara bersembunyi dan berjaga-jaga. Adakah Saidina Umar lebih berani dan lebih gagah daripada Rasulullah S.A.W? Adakah Saidina Umar lebih yakin kepada janji Allah berbanding Rasulullah S.A.W?

Beliau menjelaskan, tindakan Umar R.A adalah tindakan perseorangan semata-mata, tidak boleh dijadikan hujjah dan dalil dalam syariah. Namun apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W adalah suruhan dan perintah dan ia menjadi sumber rujukan kedua dalam syariah Islam. Andaikata Rasulullah S.A.W telah bertindak seperti mana yang dilakukan oleh Saidina Umar R.A, maka umat islam selepas baginda akan melihat dan mengira inilah cara yang diwajibkan, tidak harus berjaga-jaga, tidak perlu berwaspada, tidak perlu mengambil kira kekuatan musuh, tidak perlu melakukan perisikan atau sebarang kajian terhadap suasana terkini. Walhal Allah S.W.T menegakkan syariatnya di dunia ini mengikut kepada sebab-musababnya (sunnatullah-Nya).

Oleh kerana perjalanan syariat itu berjalan mengikut kepada sunnah-Nya, maka Rasulullah S.A.W mengambil kira segala sebab dan segala cara yang difikirkan oleh akal fikiran pada waktu itu yang boleh membantu memudahkan perjalanan ke Madinah tanpa sebarang gangguan. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Boothy menjelaskan perlaksanaan syariat yang dilakukan oleh baginda, mesti diseragamkan dengan sunnatullah sebagai berikut:

Meminta kepada Saidina Ali bin Abi Talib tinggal di tempat tidur serta menyelimutkan dengan kain selimut. Jika sedari awal tiada orang yang baring di katilnya sudah pasti pihak musyrikin mengesyaki Rasullullah S.A.W telah berjaya keluar dan waran tangkap kepada baginda akan dikeluarkan dengan kadar segera. Jika ini berlaku sudah pasti menggangu perjalan baginda S.A.W ke Madinah
Baginda membayar upah kepada seorang musyrikin-setelah dipastikan kejujurannya- untuk menunjukkan jalan-jalan yang tidak disangka oleh pihak musuh. Jika melalui jalan-jalan biasa atau lebuhraya sudah pasti baginda akan ditahan melalui ‘roadblock’ yang dilakukan oleh mereka secara sembunyi dan terancang
Bersembunyi di gua Thur selama 3 hari. Abu Bakar yang berhijrah bersama baginda S.A.W meminta kepada anaknya Abdullah untuk membuat risikan terhadap perbualan orang-orang Quraisy pada waktu siang dan menceritakan semula maklumat yang terkini kepada mereka berdua.
Abu Bakar R.A juga mengarahkan hambanya yang bernama Amir supaya mengembala kambing pada waktu siang dan membawa semula kambing-kambing tersebut pada waktu petang, agar mereka berdua dapat menikmati susunya.
Apabila Abdulah (anak Abu Bakar R.A) keluar daripada Gua Thur, Amir yang merupakan hamba kepada Abu Bakar akan meletakkan kambing-kambing yang mereka bawa itu di belakang mereka agar tapak kaki mereka berdua dipadam dengan tapak kaki kambing bagi mengelakkan ia boleh dikesan.


Jika dibandingkan hijrah yang dilakukan oleh Saidina Umar dan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W , kedua-dua mereka ini memenuhi syarat syariatullah. Tetapi, Nabi Muhammad S.A.W memenuhi satu lagi syarat iaitu sunnatullah. Ini menunjukkan jika seseorang itu berwaspada bukan bermakna seseorang itu lemah iman atau mendahulukan akal berbanding nas al-Quran atau tidak yakin kepada janji Allah. Tetapi ia adalah melaksanakan syariatullah seragam dengan sunnatullah seperti yang dicontohkan oleh baginda S.A.W.

PEMBEBASAN KOTA KOSTANTINOPLE

Kita juga boleh buat perbandingan kisah antara Abu Ayyub Al-Ansari dan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam usaha membebaskan Kota Kostantinople.

Abu Ayyub yang berumur 80 tahun, menyertai pasukan tentera untuk membebaskan Constantinople. Pasukan tentera ini bergerak ke Constantinple. Setibanya mereka di Constantinople, pelbagai masalah timbul di mana umat Islam pada waktu itu tiada pengalaman berperang di laut sedangkan Constantinople adalah sebuah bandar yang kedudukannya di tepi laut. Tentera Islam pada waktu itu juga tidak biasa berperang dalam cuaca yang sangat sejuk. Lebih penting lagi, tentera Islam ketika itu tidak mempunyai maklumat berkenaan kekuatan pertahanan Constantinople. Perginya mereka ke Constantinople adalah atas keyakinan mereka terhadap janji Rasulullah S.A.W.

Kelemahan-kelemahan ini telah menyebabkan kekalahan tentera umat Islam dan akhirnya Abu Ayyub Al-Ansari syahid dan dikebumikan di pinggir kota Constantinople. Selepas kegagalan percubaan pertama ini, beberapa percubaan dilakukan tetapi tetap menemui kegagalan. Meskipun gagal beliau menerima anugerah Syahid di sisi Allah.

PERCUBAAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Berikut diringkaskan bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh memenuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

Memastikan sokongan dan kesatuan sepenuhnya umat islam terhadap hasrat dan polisi baginda membuka Kostantinople. Tanpa sokongan padu sudah pasti mendapat bantahan daripada rakyatnya disebabkan kerja pembukaan kota tersebut menelan belanja yang besar
Membentuk kabinet baru kerajaan dengan pemilihan yang lebih ketat, melakukan penstrukturan semula sistem pentadbiran kerajaan dan memberikan fokus khusus pada persiapan latihan ketenteraan, sektor pembinaan senjata dan segala kewangan mengepung Kostantinopel.
Membuat penyamaran dan menghantar pasukan perisik. Bermula dari ketebalan tembok (8 meter) hingga kepada isu pertembungan Kristian Ortodoks- Katolik yang sedang berlaku dalam Kostantinopel.
Membangunkan 140 buah kapal perang dan 320 buah perahu di Gallipoli. Menyediakan 12 000 tentera terlatih, 20 00 tentera Sipahi, 100 000 angkatan tentera pejalan kaki dan 30 000 angkatan tentera sukarelawan. Jumlah besar ini bertujuan mengepung Kostantinopel dari segenap arah, melumpuhkan tenaga fizikal, moral dan senjata mereka melalui serangan bertali arus dalam satu tempoh.
Menyemak semula hubungan sedia ada Uthmaniyyah dengan Wallachia, Hungary, Venezia, Bosnia dan beberapa buah negara Kristian yang lain. Sultan Muhammad mengemukakan tawaran hubungan dagang yang lebih baik daripada tawaran pemimpin Uthmaniyyah sebelumnya. Perhatian khusus diberikan pada negara-negara yang pernah bersekutu dengan Kostantinopel supaya mereka memihak kepada Turki apabila Kostantinopel diserang. Akhirnya Kostantinopel bersendirian di tengah-tengah kepungan negara-negara yang tunduk kepada Uthmaniyyah.
Memastikan intergriti dan tahap spiritual tentera sentiasa berada pada tahap tertinggi. Mati syahid lebih mereka cintai. Namun sultan menegaskan kematian yang dikejar mesti dicapai hanya selepas musuh melutut menyerah kalah. Peranan para ulamak senior sangat besar dalam setiap batalion. Ini faktor penting kemenangan ke atas Kostantinopel. Hadith pembukaan Kostantinopel dan kisah Jihad Abu Ayyub Al-Ansari adalah zikir harian Sultan Muhammad al-Fateh kepada tentera-tenteranya.


KESIMPULAN & RUMUSAN

Jika dibandingkan cubaan pertama yang disertai oleh Abu Ayyub Al-Ansari dan cubaan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, kedua-dua tokoh ini memenuhi syarat syariatullah. Tetapi Sultan Muhammad Al-Fateh memenuhi satu lagi syarat iaitu sunnatullah.  Di mana untuk menang dalam peperangan, strategi dan persediaan yang berkesan adalah sangat diperlukan. Kedua-dua tokoh ini memiliki kelebihan masing-masing. Abu Ayyub adalah merupakan seorang sahabat manakala Muhammad al-Fateh meskipun bukan sahabat, tetapi merupakan seorang insan yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W membuka Kota Kostantinople. Oleh yang demikian menjadikan susuk tubuh dan starteginya sebagai bahan kajian bagi kita untuk mencapai kemenangan adalah sesuatu yang wajar.

Wujudnya golongan yang hanya memilih syariatullah sahaja dan golongan yang memilih keseragaman syariatullah dengan  sunnatullah sentiasa wujud sepanjang zaman. Hakikatnya inilah yang berlaku di dalam PAS. Bukan masalah pertembungan profesional ataupun ulamak, tapi mereka bertembung dalam hal perlaksanaan dan cara, yang tidak sewajarnya menjadi polimik berpanjangan. Kekurangan yang ada pada satu pihak wajar ditampung oleh pihak yang lain seperti apa yang dilakukan oleh Abu Ayyub al-Ansari disempurnakan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.

Pemuda Pas Negeri Johor mencadangkan agar kita menjadi contoh terbaik di dalam menguruskan kaedah perlaksanaan ini.

Oleh itu, Pemuda Pas Johor menegaskan jika kita ingin PERKUKUHKAN PR, HANCURKAN BN, kita perlu memperjuangkan perlaksanaan syariatullah bertepatan dengan sunnatullah bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Zul hilmei Mohamad Rohani
Naib Ketua Pemuda Pas Negeri Johor



http://zulhilmei.com/semasa/perkukuhkan-pr-hancurkan-bn-syariatullah-dan-sunnatullah/

0 Komentar untuk "Luah-Pandang Terbaik Ustaz Muda PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI