WALAUPUN terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk bantahan daripada segelintir persatuan seni tempatan, akhirnya Malam Solidariti Switch Off 14, berlangsung dengan jayanya pada malam Selasa lalu, 11 November 2014.

Dimomokkan dengan spekulasi liar dan dituduh sebagai agenda menentang kerajaan, kempen ini tetap mendapat perhatian ramai di kalangan pengamal seni.

Ini dibuktikan dengan kehadiran lebih 3,000 pekerja seni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan pelakon dan kru produksi.

Melihat sendiri perjalanan acara dari tirai dibuka sehingga ditutup dengan persembahan anak-anak seni, penulis merasakan tiada satu pun agenda atau perancangan untuk menjahanamkan kerajaan.

Ianya lebih kepada malam penyatuan anak-anak seni untuk berkumpul, berhibur dan menyatakan rasa sokongan padu terhadap industri serta membincangkan mengenai masalah berbangkit sejak dahulu lagi.

Menerusi sidang media yang disusun pada malam itu, penggempur acara, Jurey Latiff Rosli, menganggap kehadiran yang diterima melebihi jangkaan awal.

"Alhamdulillah, walaupun pada awalnya kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan cubaan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan acara pada malam ini, namun kita berjaya membuktikan bahawa anak seni mampu bersatu!

"Penyatuan inilah yang kita perlukan sebagai 'jentera' untuk membawa masalah industri yang ada kepada pihak berwajib dengan cara yang lebih berhemah.

"Sejak awal lagi, kita sudah memberitahu bahawa ianya bukanlah 'serangan' ataupun hanya untuk kepentingan peribadi," kata Jurey yang juga Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim).

Pada malam berkenaan, kelihatan ramai selebriti terkenal yang turut hadir meluangkan masa bersama termasuk Fizz Fairuz, Joey, Watie Elite, Afdlin Shauki dan Taiyuddin Bakar.

Selain itu, lebih 10 persatuan turut menyatakan sokongan padu, antaranya Persatuan Seniman Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (Perkap) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Malam Solidariti ini juga dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seperti silat, pantun dan sajak.

Surat bantahan Finas

Diadakan dengan penuh kemeriahan di Dataran Zoo Negara, ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedangkan hanya dua tiga langkah sahaja untuk memasuki kawasan berkenaan.

Apatah lagi, Finas merupakan tempat yang sepatutnya untuk anak-anak seni berkumpul dan menikmati hidangan persembahan sebegini.

Jelas Jurey, pada mulanya pihak mereka mendapat kelulusan untuk mendapatkan lokasi di Dataran Karyawan Finas untuk mengadakan acara ini.

Namun, di saat akhir, kelulusan itu ditarik semula dan sebarang perjumpaan atau acara yang membabitkan Switch Off 14 tidak dibenarkan diadakan di lokasi berkenaan.

"Dua hari selepas kelulusan itu diberikan, kami mendapat surat kedua di mana ianya telah dibatalkan dan lokasi itu tidak dibenarkan tanpa apa-apa alasan yang munasabah.

"Pun begitu, saya merasakan ada hikmah di sebalik pembatalan ini kerana apa yang saya nampak, dataran zoo lebih selesa dan mampu memuatkan lebih 3,000 orang yang hadir," katanya lagi.

Ditanya mengenai 11 perkara yang diketengahkan, Jurey memberitahu bahawa ianya telah diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek, pada 30 Oktober lalu menerusi sesi dialog bersama.

"Amat menggembirakan saya dan warga seni apabila menteri berjanji untuk menubuhkan Majlis Perundingan Industri Kreatif dan Content Malaysia untuk mengkaji 11 perkara yang dibangkitkan itu.

"Saya juga berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan bantuan Ketua Pengarah Finas yang baharu, Kamil Othman," katanya lagi.

Tarik ahli politik

Bukan sahaja penggiat seni, program ini turut menarik perhatian ahli politik, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar.

Dalam ucapannya, Jamawi memberitahu, kehadirannya adalah secara kebetulan setelah mendapat penjelasan daripada Presiden Seniman, Zed Zaidi, mengenai acara berkenaan.

"Saya pernah buat kerja belakang tabir dan saya sudah merasai apa dilema yang dihadapi warga seni apatah lagi golongan kru produksi. Malah, saya bersedia untuk menjadi 'jambatan' kepada anda semua dalam memastikan nasib golongan seni terbela.

"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada menteri dan Pengerusi Finas, Datuk Affendi Hamdan, mengenai acara malam ini. Jangan risau, saya akan berusaha membantu anda semua dalam membawa perkara ini ke hadapan," katanya.