BAGI peminat program realiti yang menampilkan pelawak handalan tanah air, Maharaja Lawak Mega (MLM) pastinya dinantikan mereka.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, tahun ini MLM terus menyusun strategi terbaik bagi memastikan program realiti komedi tersebut menepati cita rasa penonton.
"Bermula 14 November ini, Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134) kembali menggeletek seisi rumah dengan kehadiran MLM.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini juga persaingan amat sengit,  10 barisan pelawak yang terdiri daripada kumpulan Sepahtu, Shiro, Bocey, Virus, Nabil Comey, Jalor, Sayot, Kepoh dan SYJ akan berentap menunjukkan kehebatan masing-masing," katanya.

Tambah Nizam, dia turut berbesar hati apabila MLM 2013 telah diangkat sebagai Rancangan Komedi Hiburan Terbaik (bersiri) dua kali berturut-turut di pada Anugerah Lawak Warna 2014.

Mengulas mengenai kerusi panas yang baru sahaja berakhir, Nizam berkata, lima kumpulan layak bertanding di pentas MLM 2014 bermula Jumaat ini.

"Lima kumpulan tersebut ialah Ekzos dan Samurai yang bersaing di kerusi panas minggu pertama, sementara Wala, Zero dan Shake peserta kerusi panas minggu kedua menjadi pilihan juri profesional.

"Dengan itu, secara rasminya gelanggang MLM 2014 telah dibuka dengan menyaksikan 15 peserta akan bersaing merebut gelaran juara musim ini," katanya lagi.

MLM 2014 bakal disiarkan jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134) dan Astro On-The-Go.

Manakala barisan empat juri tetap untuk musim ini akan diumumkan pada Jumaat nanti.

Juara MLM 2014 bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000.