Pemuda PAS simpati keluhan Rosyam Nor - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pemuda PAS simpati keluhan Rosyam Nor

Pemuda PAS menyokong saranan pelakon Rosyam Nor supaya satu perbincangan meja bulat antara penggiat drama tempatan dan RTM untuk menyelesaikan isu stesen itu didakwa tidak lagi beli drama sejak Januari lalu.

Simpati dengan keluhan pengarah dan penerbit drama itu, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) PAS Salman Saleh berkata perbincangan itu penting bagi mencari jalan keluar terhadap kemelut yang berlaku.

Beliau turut mendakwa RTM lari dari peranan sebenar untuk membantu penggiat drama tempatan bukan berbelanja lebih termasuk menyiarkan siaran langsung Piala Dunia.

“Walaupun pelbagai alasan yang diberikan, RTM sebenarnya telah lari daripada peranan sebenar mereka di dalam membantu penggiat drama tempatan.

“Sebagai contoh isu Piala Dunia, apakah tujuan RTM bersaing dengan syarikat penyiaran swasta dan berbayar ketika itu?

"Sedangkan RTM sedar kos bayaran penyiaran yang terpaksa di bayar untuk tujuan tersebut yang sepatutnya boleh membeli drama tempatan tersebut," kata Salman dalam satu kenyataan.

Salman mengulas keluhan Rosyam antara lain menyebut ramai penerbit drama bergantung kepada RTM kerana memperuntukkan jumlah slot drama Melayu yang banyak berbanding stesen TV lain.

Selain Piala Dunia, Rosyam turut mendedahkan alasan kerajaan berbelanja lebih bagi penyiaran insiden dua pesawat MH370 dan MH17 masing-masing berlaku pada Mac dan Julai tahun ini.

Mengulas insiden itu, Salman berkata pihaknya menerima hakikat bahawa RTM perlu menyiarkan berita terkini untuk disampaikan kepada rakyat.

"Tetapi kami sedikit hairan RTM menjadikannya sebagai antara penyebab kegagalan untuk membeli drama-drama tempatan selama ini," katanya.

Sehubungan itu, Salman berharap RTM fokus untuk membantu penggiat drama tempatan bagi memastikan hasil seni mereka disiarkan melalui rancangan di televisyen.

Pihaknya juga menyeru penggiat drama tempatan bergerak secara gabungan termasuk dengan mewujudkan persatuan yang kuat bagi memastikan hasil seni mereka terbela sekaligus menjadi pendesak kepada kerajaan jika berlaku isu berbangkit.- MK

0 Komentar untuk "Pemuda PAS simpati keluhan Rosyam Nor"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI