Kelantan terus bentang bajet defisit lebih RM70 juta untuk 2015 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kelantan terus bentang bajet defisit lebih RM70 juta untuk 2015

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2015 bagi negeri itu dengan defisit RM70.69 juta.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob (gambar) ketika membentangkan bajet itu berkata kerajan negeri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM530.82 juta pada tahun hadapan.

"Manakala perbelanjaan mengurus dengan anggaran berjumlah RM601.51 juta. Defisit ini meningkat berbanding dengan anggaran defisit dalam Bajet 2014 yang berjumlah RM10.39 juta.

"Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan bajet untuk 2015 adalah berdasarkan kepada pendapatan yang diyakini dan bakal diperolehi. Ini bermakna pendapatan jangkaan yang masih dalam proses penyelesaian seperti royalti gas dan petroleum tidak dimasukkan dalam senarai punca hasil," katanya.
Ahmad berkata demikian ketika membentangkan bajet berkenaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim di Kota Baru, hari ini ini.

Ahmad yang juga pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata anggaran hasil negeri pada tahun hadapan dianggarkan sebanyak RM530.82 juta meliputi Hasil Cukai sebanyak RM173.04 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM222.21 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM135.57 juta.

"Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan dalam hasil sebanyak RM18.44 juta ataupun sebanyak 3.36% berbanding dengan anggaran hasil pada tahun lalu yang berjumlah RM549.26 juta," katanya.

Beliau berkata hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM129.57 juta atau 24.40% daripada keseluruhan jumlah hasil dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM24.13 juta jika dibandingkan dengan anggaran bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM105.44 juta.

Katanya hasil tanah meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM42 juta, premium tanah RM40 juta, bayaran pendaftaran RM6.74 juta serta bayaran gadaian sebanyak RM5.34 juta.

"Manakala hasil perhutanan menyumbang sejumlah RM114.91 juta atau 21.65 % daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia juga menunjukkan peningkatan RM47.5 juta jika dibandingkan dengan anggaran bajet 2014 yang berjumlah RM67.41 juta," katanya.

Ahmad berkata hasil hutan meliputi royalti kayu kayan yang akan menyumbangkan sebanyak RM30 juta, bayaran jabatan hutan sebanyak RM10 juta, permit lesen perhutanan menyumbang RM1 juta sementara premium perhutanan pula sebanyak RM70 juta.

Menurutnya hasil perlombongan yang meliputi cukai galian, barit, bijih besi, mangan, feldspar dan emas akan menyumbang sebanyak RM71 juta atau 13.38 %.

Katanya ia menunjukkan  hasil perlombongan  meningkat daripada hasil jangkaan pada pembentangan bajet lepas iaitu hanya sebanyak RM29.5 juta atau 5.37% daripada anggaran kutipan hasil 2014.

Ahmad juga berkata anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2015 berjumlah RM601.51 juta berbanding RM559.64 juta pada 2014 iaitu meningkat sebanyak RM41.87 juta atau 7.48% merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM20.99 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM580.53 juta.

"Daripada jumlah tersebut RM306.46 juta atau 50.95% adalah untuk Pemberian dan Kenaan Tetap, RM180.72 juta (30.04%) untuk emolumen, RM93.41 juta (15.53%) bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM18.71 juta (3.11%) untuk aset dan RM2.21 juta (0.37%) untuk lain-lain perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata peruntukan pembangunan bagi 2015 adalah berjumlah sebanyak RM281.61 juta yang dibiayai dibawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM90 juta daripada sumber pinjaman.

Katanya lagi selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan dalam memperuntukkan Bantuan Khas Kewangan dalam Bajet Persekutuan maka kerajaan negeri turut memperuntukkan perkara yang sama kepada pegawai perkhidmatan awam negeri sebagai menghargai khidmat bakti mereka.

Persidangan dewan bersambung esok. – Bernama, 13 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kelantan-terus-bentang-bajet-defisit-lebih-rm70-juta-untuk-2015#sthash.NfbxO7QK.dpuf
0 Komentar untuk "Kelantan terus bentang bajet defisit lebih RM70 juta untuk 2015 "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI