SHAH ALAM - PKR hari ini menuntut jawapan segera daripada Pas mengenai kekeliruan dan tanda tanya mengenai pencalonan calon mereka sebagai penganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, terdapat beberapa persoalan yang timbul berdasarkan perkembangan terkini yang menampakkan kekeliruan dan untuk itu Pas perlu tampil dengan jawapan bagi merungkai segala persoalan ini.

"Berdasarkan perkembangan terkini mengapakah wujud surat awal yang diakui oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali di mana tiga nama pimpinan Pas yang dicalonkan?.

"...serta mengapakah dalam kenyataan terkini dikatakan satu nama Pas dan dua nama PKR pula yang dihantar? Bukankah ini melanggar persefahaman bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah Adun PKR.

" Dan mengapakah Mustafa Ali  tidak mahu mengesahkan siapa nama calon-calon yang dihantar? Adakah nama-nama calon PKR yang dihantar di dalam surat kali ini berlainan dengan keputusan Pas  pada 17 Ogos 2014?

"Untuk itu penting untuk rakyat Selangor mendapat penjelasan segera agar segala kekeliruan dan tanda tanya dapat dijawab," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Terdahulu Mustafa dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan bahawa Pas telah menghantar tiga nama calon mewakili parti mereka, iaitu dua daripada PKR dan satu daripada Pas sendiri.