Pergeseran Pakatan punca PAS kecundang di Pengkalan Kubor, kata Muhyiddin - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pergeseran Pakatan punca PAS kecundang di Pengkalan Kubor, kata Muhyiddin

Timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) mengucap tahniah kepada calon Barisan Nasional Mat Razi Mat Ail. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 September, 2014.
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendakwa kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor adalah disebabkan lemahnya hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan presiden Umno itu berkata, faktor itu menjadi pertimbangan pengundi di Pengkalan Kubor selain krisis Selangor yang dibiarkan lama berlarutan.

"Mereka melihat keadaan PR, peristiwa yang berlaku di Selangor, perhubungan yang begitu tidak mantap antara PAS, PKR dan DAP.



"Saya percaya pengundi di kawasan ini juga dapat membuat penilaian, situasi begini tidak baik. Kalau berterusan membawa impak tidak baik kepada Pengkalan Kubor," katanya pada sidang media selepas pengumuman kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail di Tumpat malam ini.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar selepas Mat Razi mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dengan majoriti 2,635 undi.

Mat Razi memperoleh 9,961 undi di hadapan Wan Rosdi yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas Izzat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya memperoleh 38 undi.

Muhyiddin berkata, pengundi Pengkalan Kubor bukan sahaja memberi isyarat jelas menolak PAS tetapi menolak segala dasar songsang dan bercanggah yang diilhamkan PR.

"Mereka bagi isyarat dalam mengundi bukan sahaja menolak PAS tetapi PR kerana dasar mereka yang bercanggah, fatwa yang songsang dan perkara tidak benar dilemparkan kepada kita. Semua ini ada kesan kepada pengundi di sini," katanya.

Timbalan perdana menteri malam ini melahirkan rasa kegembiraannya atas pertambahan majoriti BN berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu yang nyata menunjukan keyakinan penduduk setempat kepada parti pemerintah.

Katanya, perkara itu amat mengejutkannya namun gembira mereka yang menyokong BN bertambah sekaligus memberi harapan baru sokongan rakyat Kelantan kepada Putrajaya.

"Saya secara peribadi terkejut kerana tidak menjangka dapat begitu. Saya fikir dalam mana-mana PRK, jumlah keluar mengundi tidak besar tetapi peratusan menyokong BN tinggi lebih daripada apa yang dijangkakan.

"Saya yakin ini gelombang baru dipimpin Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) disambut baik. Mungkin ini satu permulaan baik. Kita harap trend begini terus meningkat di masa akan datang," katanya. – 25 September 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pergeseran-pakatan-punca-pas-kecundang-di-pengkalan-kubor-kata-muhyiddin#sthash.sGDcFVZT.dpuf
0 Komentar untuk "Pergeseran Pakatan punca PAS kecundang di Pengkalan Kubor, kata Muhyiddin "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI