Tahniah Azmin, jika itulah takdirmu - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tahniah Azmin, jika itulah takdirmu

Oleh Majdan Dagang

Tahniah dan terima kasih

Pada tarikh 23 September 2014, Selangor menjadi Menteri Besar yang ke-15 iaitu Azmin Ali. Siapa yang pertama? Yang pertama ialah Datuk Hamzah Abdullah yang menjadi MB hanya beberapa bulan iaitu pada tahun 1949. Yang kedua pula ialah Raja Tun Uda Raja Muhammad dari 1 Julai 1949 hingga 1953.

MB pertama yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya selepas Tanah Melayu merdeka ialah Datuk Abu Bakar Baginda yang menjadi MB dari 30 Mei 1959 hingga 24 April 1964.

MB pertama yang bukan daripada Umno-BN ialah Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menjawat jawatan tersebut 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

Tahniah kepada Azmin yang dilantik ke jawatan ini dan terima kasih kepada Tan Sri Khalid atas sumbangan jasanya menjaga amanah rakyat.

Takdir kita tidak sama

Begitulah takdir hidup ini. Manusia merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

Ada orang merancang mahu jadi pemandu kapal terbang tetapi Allah takdirkan dia jadi pramugara sahaja. Ada orang merancang mahu jadi guru, tetapi Allah takdirkan dia jadi doktor. Ada orang merancang mahu jadi Perdana Menteri tetapi Allah takdirkan sehingga Timbalan Perdana Menteri sahaja. Ada yang merancang mahu jadi MB, tetapi Allah takdirkan jadi Adun sahaja.

Adakah ini salah takdir? Tidak sebenarnya. Allah suruh kita berusaha dan terus berusaha – di mana ada usaha di situ ada kejayaan. Ketika berusaha jangan sampai melanggar prinsip, janganlah sampai melanggar ulamak, jangan melanggar rakan tahaluf, janganlah sampai melanggar adab, janganlah sampai melanggar sultan.

Gagal atau berjaya, menang atau kalah, – semuanya dapat pahala jika dilakukan dengan niat kerana Allah dan dibuat dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam.

Kita cuma berusaha, selebihnya takdir Allah yang tentukan.

Dibimbangi jika niat kerana kejar jawatan. Jawatan gagal digapai, pahala entah ke mana. Sebagai orang Islam tentunya kita percaya akan dosa pahala, halal dan haram. Orang bukan Islam saya tidak tahu, adakah ada nilai yang seumpamanya dalam agama mereka.

Jangan taksub mengejar jawatan dan Islam tidak mendidik kita meminta-minta jawatan. Sebagai jemaah Islam tentunya kita faham dengan didikan ini. Lainlah jika jemaah kita tidak berteraskan Islam. Membujur lalu melintang pukang! (Asal: Membujur lalu melintang patah!)

Abu Zar al-Ghifari pernah memohon jawatan daripada Nabi SAW tetapi permohonan itu ditolak baginda kerana mengetahui kelemahan beliau dan berat amanah yang bakal dipikul. Abu Zar tidak kecil hati dengan penolakan itu.

Adakah kita dihalang secara mutlak meminta jawatan? Tidak juga. Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan menteri dalam kerajaan Mesir. Namun, sebelum itu Nabi Yusuf telah membuktikan kebolehannya dan dia dinilai layak oleh Raja untuk jawatan tersebut. Bak kata orang dulu-dulu, ukur baju di badan sendiri.

Nasihat seorang ustaz

Seorang ustaz memberi perbandingan. Dalam acara lari berganti-ganti yang dianggotai oleh empat pelari. Sebaik tembakan pelepasan, kesemua pelari akan memecut. Dalam pasukan kita pelari pertama memecut tetapi hanya berada di kedudukan ketiga. Sebaik menyerahkan baton, pelari kedua berjaya merapatkan kedudukan dengan pelari di depannya dan menyerahkan baton kepada pelari ketiga.

Sebaik menerima baton pelari ketiga berjaya memintas pelari di depannya dan berusaha merapatkan diri dengan pelari di depan sekali. Sebaik baton diserahkan kepada pelari terakhir, dia memecut laju dan akhirnya berjaya memintas pelari di depan dan dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Semasa pengurniaan pingat, adakah hanya pelari akhir sahaja dikurniakan pingat emas? Tentunya tidak. Keempat-empat pelari diberi pingat yang sama.

Begitulah perjuangan kita dalam Islam. Generasi sebelum kita bukan setakat tidak menang dalam pilihan raya, malah hilang wang deposit. Kini generasi kita hanya menang di beberapa negeri dan Dun. Kita tidak tahu generasi bilakah Islam akan menang di bumi Malaysia ini. Adakah pahala orang terdahulu yang hilang wang deposit lebih sedikit berbanding dengan yang jadi Adun atau MB pada hari ini?

Nescaya Allah tidak mengurangkan sedikit pun.

Tanya jurulatih, di mana kamu?

Teringat saya suatu masa dahulu. Seorang jurulatih berpangkat kapten bertanya kepada pegawai kadetnya ketika dalam kelas.

“Tidak lama lagi kamu akan ditauliahkan sebagai pegawai - menjadi ketua platun dan seorang pemimpin. Di mana kedudukan kamu?”

Beliau membahagikan manusia dalam empat kategori. Yang pertama dilahirkan sebagai pemimpin. Tentunya dalam Islam percaya para nabi dan rasul dilahirkan untuk memimpin. Namun, dalam kalangan manusia biasa ada juga yang dilahirkan dan mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin. Sebagai lelaki, tentu jadi pemimpin keluarga khususnya imam solat.

“Kategori kedua ialah dilatih untuk menjadi pemimpin. Kamu adalah dalam kategori ini. Bermula sebagai pemimpin platun.”

Ya, kebanyakan pemimpin yang ada pada hari ini datangnya daripada kelompok ini. Dilatih, dididik sama ada secara formal mahupun pengalaman. Untuk sampai ke tahap ini tentunya Azmin Ali telah dididik melalui pengalaman yang pelbagai. Begitu juga Tuan Guru Haji Hadi, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Yang ketiga ialah pemimpin yang jadi pemimpin secara kebetulan. Pemimpin dalam kategori ini tidak ramai kerana jadi pemimpin secara “rezeki terpijak”. Corazon Aquino atau popular dengan panggilan Cory merupakan salah seorang pemimpin kategori ini.

Beliau hanyalah seorang suri rumah kepada tokoh politik pembangkang Filipina, Benigno Aquino, Jr. Namun apabila suaminya mati ditembak pada 21 Ogos 1983 ketika menjejakkan kaki ke bumi Filipina setelah dibuang negara, wanita ini bangkit menentang kezaliman pemerintah ketika itu.

Dalam pilihan raya umum 1985, presiden Filipnia ketika itu, Ferdinand Marcos telah menang besar. Namun, parti pembangkang yang dipimpin oleh Cory mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya itu. Beliau menyeru rakyat untuk bangkit dan akhirnya seruannya itu mendapat sokongan tentera dan gereja. Marcos yang berkuasa lebih 20 tahun akhirnya tumbang dan melarikan diri ke luar negara. Sumpati rakyat membantu beliau menentang kezaliman terhadap suaminya.

Cory secara rasmi dilantik menjadi presiden Filipina ke-11 February 25, 1986. Beliau menjadi presiden wanita pertama dalam kalangan negara Asia. Selepas sepenggal, beliau tidak meneruskan khidmatnya dan berakhir pada Jun 30, 1992. Cory kembali menjalani kehidupan biasanya sebagai seorang suri rumah. Tugasnya mengembalikan demokrasi kepada rakyat telah tercapai dan beliau bersara daripada politik.

Kemenangan Cory diasbab simpati rakyat atas kezaliman yang diterimanya. Di Malaysia, ada kes yang hampir serupa. Gelombang rakyat yang berlaku sekitar 1998 atas dasar simpati kepada sebuah kezaliman dan ketidakadilan.

Kemuncak kepada gelombang itu ialah pada tahun 1998 apabila kerajaan BN kalah di lima negeri dan hilang majoriti 2/ 3 di parlimen.

Dalam PRU13 pada tahun 2013 gelombang itu sudah tidak membadai seperti sebelumnya, dan adakah masih ada gelombang dalam PRU14 akan datang? Masih adakah simpati?

Tidak ada siapa yang tahu kerana orang yang pernah mendapati simpati kerana dizalimi dan tidak mendapat keadilan dan kini melakukan perkara yang sama terhadap orang lain.

Yang keempat ialah mereka yang dilahirkan untuk menjadi pengikut sahaja. Kelompok ini tidak ada bakat dan karisma untuk memimpin. Adakah kelompok ini tidak ada nilainya? Allah maha adil, hatta ulat tahi pun ada tugasnya. Sesungguhnya Allah tidak jadikan sesuatu itu secara sia-sia.

Mereka mungkin tidak ada bakat dan karisma memimpin tetapi menjadi pengikut yang baik, pekerja yang bagus, ahli yang setia dan wala’. Setiap pemimpin yang berjaya dibawahnya terdiri daripada pengikut yang baik dan cemerlang.

Oleh sebab pengikut yang baik dan memahami inti perjuangan inilah parti-parti politik seperti PAS terus bertahan walaupun dilanda ombak dan badai, ribut dan taufan.

Jika anda tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin, maka jadilah pengikut yang baik kepada ketua yang baik. Jika anda seorang Islam dan yakin dengan Islam, Jangan khianati ketua anda selagi tidak melanggar syariat.

Itulah anda. Jika itu takdirmu...

– HARAKAHDAILY 25/9/2014 
0 Komentar untuk "Tahniah Azmin, jika itulah takdirmu"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI